Hadi Awang tawar diri jadi kumpulan awal terima vaksin
Minta semua pihak gembleng usaha perangi pandemik COVID-19

BANGI, 27 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan awal menerima suntikan vaksin COVID-19.
Abdul Hadi memaklumkan beliau telah mendapat taklimat berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan khususnya tentang kepentingannya terhadap usaha-usaha meningkatkan imuniti kelompok dalam masyarakat, supaya mempunyai daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut.
“Justeru saya ingin menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian daripada penerima terawal suntikan vaksin COVID-19 bersama-sama YAB Perdana Menteri.
“Ia sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi pandemik ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang meminta semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha bagi memerangi wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
“Fokus utama kita sekarang adalah memastikan keselamatan rakyat terjamin dan ekonomi negara kembali pulih,” katanya.