Pendapat

Ada apa dengan nama Jalan Palestin?

Hebatnya kecaman dengan komen menjengkelkan di dunia maya

SAYA tidak ingin memberi apa-apa ulasan tentang penggantian nama Jalan Raja Laut 1 kepada nama Jalan Palestin. Jalan Raja Laut masih kekal lagi dan sejarah perjuangan di sebalik nama itu tidak akan terpadam dari catatan sejarah.

Yang memancing perhatian saya ialah tentang hebatnya kecaman dari gerombolan bukan Islam pro-Zionis/Israel yang sangat tersentap dengan pemilihan nama Palestin bagi menggantikan nama Jalan Raja Laut 1 itu. Membaca komen-komen mereka di dunia maya seolah-olah mereka ini adalah pendatang dari Israel yang tiba-tiba merasa terancam dengan istilah Palestin! Komen-komen sinis dan memperlekehkan bumi Palestin, umat, rakyat dan para pejuangnya bukan sedikit.

Saya pasti mereka tidak akan menyumbang walau satu sen pun kepada perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan bumi yang diberkati itu dari cengkaman penjajah Israel!

Gerombolan ini juga (saya yakin) adalah orang yang sama yang memprotes gesaan supaya nama Bukit St Paul ditukar ke nama Bukit Melaka. Mereka jugalah yang melenting terhadap inisiatif dari Pemuda ISMA yang menggesa supaya nama Butterworth ditukarkan kepada Bagan dan nama Georgetown ditukar kepada Tanjong. Di dalam senarai kerusi Parlimen sendiri pun tidak ada wakil rakyat Butterworth atau Georgetown, tetapi wakil rakyat Bagan dan Tanjong.

Saya berpendapat bahawa puak-puak ini tidak dapat menerima sebarang perubahan yang dianggap memihak kepada orang-orang Melayu atau Islam, lebih-lebih lagi berkait dengan sejarah Tanah Melayu. Sejak dahulu lagi sudah terdapat desakan supaya naratif sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dikaji semula, agar memasukkan ‘sumbangan’ tokoh dan masyarakat bukan Melayu/Islam terhadap perjuangan di atas.

Sedangkan sesiapa yang mengkaji sejarah Tanah Melayu yang bukan dari sudut pandangan penjajah, akan sampai kepada rumusan bahawa orang-orang Melayulah (yang dipelopori para ulama), yang sebenarnya pejuang kemerdekaan, melawan penjajah British dengan senjata, darah dan air mata. Golongan selain daripada orang-orang Melayu ini hanya menumpang nama di meja-meja rundingan sahaja.

Kalaulah bukan kerana paksaan dan ugutan penjajah British untuk tidak memberi kemerdekaan kepada penduduk Tanah Melayu kecuali mesti memberi kerakyatan kepada orang-orang bukan-Melayu yang didatangkan dari negara China dan India, nescaya orang-orang luar ini tidak akan dapat menikmati kemewahan, manfaat, faedah dan keselesaan hidup sesudah itu.

Sokongan negara dan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan negara berdaulat mereka dari cengkaman dan penjajahan entiti ciptaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bernama Israel itu sudah dimaklumi ramai. Demikian juga sejarah penentangan kerajaan Melaka satu masa dahulu terhadap serangan tentera Portugis untuk menakluki dan mengalahkan kota/pemerintahan yang pada satu masa dahulu dikenali sebagai Venice Of The East.

Tapi sokongan ini dan bukti-bukti sejarah yang memaparkan naratif sejarah perjuangan umat Islam dan bangsa Melayu bagaikan ubat pahit yang sukar ditelan oleh kumpulan di atas.

Mereka ini memiliki satu pola pemikiran yang bersifat cauvinistik, Islamophobia dan Melayuphobia. Mindset pro-Zionis/israel dan Islamophobia/Melayuphobia ini sangat tebal dan sukar diubah.

Ketika di sekolah rendah dahulu, ada seorang rakan sedarjah saya yang berbangsa Yahudi. Ya, benar, bangsa Yahudi. Namun, tidak ada sentimen ‘anti-semitism’ pun yang diluahkan terhadap keberadaan beliau di sekolah. Kami boleh berkawan seperti biasa. Malah terdapat satu komuniti masyarakat Yahudi di Pulau Pinang ketika itu meskipun mereka sudah tidak ada lagi di sana kecuali beberapa peninggalan sejarah (tanah perkuburan) yang masih kekal hingga ke hari ini.

Terdapat juga nama sebatang jalan iaitu Yahudi Road sebagai meraikan kewujudan bangsa Yahudi di Pulau Pinang, sepertimana wujudnya juga nama-nama seperti Armenian Street, Siam Road, Burma Road, Acheen Street, Bangkok Lane, Madras Lane dan seumpamanya, sebahagian besarnya masih kekal hingga ke hari ini.

Kewujudan bangsa-bangsa ini di Pulau Pinang satu masa dahulu adalah testimoni tentang penerimaan dan pengiktirafan terhadap kepelbagaian budaya, adat resam, kepercayaan, bahasa dan agama di pulau yang pernah terkenal dengan gelaran Pearl Of The Orient.

Justeru, kenapa pula mereka mempertikaikan pengubahan nama sebatang jalan di ibu negara Malaysia kepada nama Palestin?

Di manakah puak-puak ini ketika nama Yahudi Road ditukar kepada Jalan Zainal Abidin?

Kenapa puak pro-Zionis/Israel ini tidak memprotes ketika itu?

Penentangan dan kejengkelan mereka terhadap Jalan Palestin hanyalah manifestasi dari kebencian mendalam mereka terhadap apa yang dilambangkan di sebalik nama Palestin – iaitu agama Islam, yang memberi makna dan asas kepada perjuangan melawan penjajahan, kezaliman, kerakusan dan penindasan satu bangsa yang angkuh ke atas bangsa lain.

Mereka selamanya tidak akan puas hati sehinggalah segala keinginan dan cita-cita mereka tercapai!

Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)
Mohd Luttfi Abd Khalid

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button