Berita Utama

Kartel daging: Syarikat, 2 pengarah, pengurus didakwa 21 pertuduhan

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan

JOHOR BAHRU, 27 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Sebuah syarikat sejuk beku bersama dua pengarah dan pengurusnya, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu tanpa kelulusan untuk membekalkan daging sejuk beku, awal Disember lalu.

Tertuduh iaitu Syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd bersama pengarahnya, Yong Chee Keong, 40, dan Tan Siew Huak (yang masih bebas), 42, serta pengurus syarikat, Chong Kim Kuang, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat dan dua tertuduh serta seorang lagi yang masih bebas didakwa menggunakan, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua badan pensijilan halal dari Australia selain menggunakan logo halal palsu tanpa kebenaran.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai di sini antara 1 hingga 3 Disember 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh didenda antara RM100,000 hingga RM500,000 atau dipenjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Memetik laporan media tempatan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohammad Onn Abd Aziz, Kwan Li Sa, Syazwani Zawawi, T Ashivinii dan Kee Shu Min.

Tertuduh pula diwakili barisan peguam Zamri Idrus, Yusman Che Aman dan Saiful Zaman Abd Rahman.

Mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap dua minggu sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Mac ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button