Berita Utama

Makan di restoran dibenarkan mulai esok

Namun masyarakat perlu patuh kepada SOP PKP ketat kementerian

KUALA LUMPUR, 27 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan baki keseluruhan perniagaan peruncitan beroperasi semula serta kebenaran makan di restoran bermula esok dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata keputusan itu diputuskan bagi memastikan kelangsungan ekonomi perniagaan peruncitan iaitu antaranya kedai pakaian dan aksesori, aksesori kereta, kraftangan, kedai permainan kanak-kanak, kedai peralatan sukan dan sebagainya.

“Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah pemilik premis perlu melakukan nyah kuman di premis masing-masing tiga kali sehari, mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai pelitup muka dalam premis, memastikan (pelanggan dengan) suhu (badan) lebih 37.5 darjah celsius tidak dibenarkan masuk ke premis.

Kedai pakaian pula perlu sediakan sarung tangan kepada pelanggan, kedai kosmetik hanya menjalankan aktiviti jual beli sahaja, tidak dibenarkan mencuba produk,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Mengenai kebenaran makan di kedai makan, Ismail Sabri berkata ia hanya terhad kepada dua pelanggan untuk satu meja dengan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter di restoran serta pemilik restoran perlu merekodkan butiran pelanggan.

Katanya butiran lanjut mengenai SOP tersebut boleh didapati di laman sesawang MKN.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata kebenaran bagi kedai barangan fotografi dan perkhidmatan fotografi serta penggunaan studio hanya melibatkan seorang pelanggan dan jurugambar sahaja.

Katanya penggunaan studio penggambaran tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan gambar passport, visa dan lesen.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Koreksional Dungun dan kuarters kakitangannya, esok.

Beliau berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 128 saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 51 kes positif COVID-19 direkodkan.

Bagaimanapun baki kes positif di lokaliti berkenaan menunjukkan penurunan serta tiada lagi sampel menunggu keputusan, katanya.

Selain itu, Ismail Sabri juga mengumumkan PKPD di Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Perak juga tamat esok setelah KKM mengesahkan kes terakhir dilaporkan adalah pada 4 Feb lepas dan tiada baki sampel saringan sedang menunggu keputusan.

“KKM telah selesai melaksanakan 309 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 27 kes positif COVID-19 telah direkodkan,” katanya.

Beliau berkata satu lagi lokasi PKPD di Pusat Transit Tahanan (PTP) Penjara Marang melibatkan Blok Pusat Latihan Pegawai Penjara Zon 2 dan Zon 3, Penjara Marang, Terengganu turut ditamatkan esok.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 76 saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 38 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Kesemua 38 kes positif tersebut ditempatkan di PKRC dan kontak rapat diletakkan di sel berasingan dan dipantau selama 14 hari,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button