Berita Utama

Najib terima RM2.973 bilion dari 1MDB: Pendakwaan

Wang masuk ke dalam akaun tanpa sebarang justifikasi komersial atau perniagaan

KUALA LUMPUR, 27 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima sejumlah wang yang besar RM2.973 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam akaunnya tanpa sebarang justifikasi komersial atau perniagaan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dalam hujahnya berkata perkara itu didedahkan oleh pegawai penyiasat pengubahan wang haram Supt Foo Wei Min bahawa perpindahan wang dari 1MDB ke Akaun Ambank Najib bernombor 9694 dilakukan dalam tiga peringkat dan ACP D. Rajagopal telah mengenal pasti peringkat pertama dan kedua.

“Jejak wang terperinci yang dijalankan ke atas akaun Najib mendapati pergerakan wang dari Good Star melibatkan US$120 juta (RM369,029,514) dalam lima transaksi antara 2011 dan 2012, peringkat (kedua) Aabar sebanyak US$170 juta (RM523,389,779.96) melalui enam transaksi antara 2011 dan 2012 dan peringkat (ketiga) Tanore melibatkan US$681 juta (RM2,081,476,926) dipindahkan melalui dua transaksi pada 2013.

“Menerapkan kaedah penilaian kewangan ‘masuk dahulu, keluar dahulu’ pada akaun Ambank Najib. Jejak wang itu menunjukkan sejumlah RM2,973,896,219.96 yang diterima Najib dalam akaun 9694, dikembalikan ke akaun Tanore sebanyak RM2,034,350,000.

Wang baki RM939,546,219.96 dalam akaun 9694 Najib dipindahkan untuk dibelanjakan oleh bekas PM dalam empat kategori yang besar,” katanya pada pendengaran permohonan pendakwaan bagi pelucuthakan RM114,164,393.44 dan barangan kemas yang dirampas dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd yang didengar di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button