Berita Utama

PENGAJARETA rayu institut memandu kembali beroperasi

Majoriti pengajar dalam kalangan B40, hilang punca pendapatan

BANGI, 27 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Persatuan Sekolah Memandu Kereta Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Selangor (PENGAJARETA) merayu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong atau mana-mana pihak berwajib mempertimbangkan kebenaran beroperasi bagi institut memandu di negara ini dengan kadar segera.

Pengerusinya, Harun Shafiee berkata, perkara itu penting disebabkan institut memandu tidak lagi mampu menanggung kerugian akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu.

Harun yang juga Pengerusi Eksekutif Institut Memandu Kenderaan Darat GPSM Sdn Bhd (IMKEDA) berkata, ahli lembaga pengarah syarikat itu pada semalam juga telah memutuskan akan menghentikan perkhidmatan kakitangan serta melepaskan cuti tanpa gaji, bagi memastikan syarikat terus beroperasi sekiranya perlu.

Beliau berkata, meskipun ditutup, IMKEDA masih perlu membayar tanggungan syarikat serta kakitangan dengan anggaran RM400,000 setiap bulan dan ia telahpun berlaku pada bulan lepas.

“Cukuplah dengan tiga bulan ditutup pada tahun lalu sejak PKP bulan Mac. IMKEDA telah pun kerugian hampir RM4.2 juta pada tahun 2020 disebabkan penutupan operasi dalam tempoh PKP.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah sepanjang 40 tahun dalam bidang ini, syarikat yang diusahakan dan ditadbir urus mengalami kerugian sejumlah besar seperti ini.

“Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pengajar-pengajar memandu majoritinya dalam kalangan B40 dan pusat pendaftaran lesen memandu seperti IMKEDA dan semua institusi memandu yang lain hilang punca pendapatan sebanyak ini. Keadaan ini begitu menekan semua yang berada dalam industri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas perkara sama, Harun berkata, pihaknya memandang isu itu secara serius sekiranya pihak berwajib tidak membenarkan institut memandu terus beroperasi.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan IMKEDA akan menanggung kerugian lebih RM4.5 juta pada tahun 2021.

Katanya, perkara ini wajar diberi perhatian kerana semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahu pun Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah dipatuhi, semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Mei 2020.

“Tambahan lagi, orang ramai yang sudah berdaftar pula tertangguh semua tarikh kelas, latihan dan ujian.

“Pihak kami perlu memberi pulangan semula kepada pelanggan yang tidak berpuas hati kerana tidak mendapat perkhidmatan begitu lama,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta dibenar beroperasi semula dengan SOP yang ketat mulai minggu lalu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah dinilai dari segi risiko dan jumlah kluster dihasilkan setiap aktiviti perniagaan itu.

“Setelah berbincang dan melihat tiada kluster baharu oleh ketiga-tiga aktiviti perniagaan ini, maka mesyuarat setuju untuk luluskan (beroperasi semula),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button