Berita Utama

Salahuddin dedah ditawar percutian mewah syarikat kartel daging

Didekati syarikat 2 tahun lepas sejurus pegang jawatan menteri

BANGI, 27 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub mendedahkan pernah menerima tawaran percutian mewah ke Eropah dari syarikat pengimport yang mempunyai kaitan dengan kartel daging.

Beliau mendakwa didekati oleh syarikat itu dua tahun lalu ketika pertama kali memegang jawatan menteri.

Dakwanya, tawaran tersebut diberikan ketika mengadakan perjumpaan bersama wakil pengimport daging itu beberapa bulan selepas dilantik ke jawatan tersebut.

Bagaimanapun beliau merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perjumpaan yang sepatutnya menjadi sesi perkenalan antara menteri dan juga pemain industri itu apabila ditawarkan dengan pakej percutian yang digambarkan sebagai ‘kunjungan hormat’.

“Mereka menawarkan pakej percutian mewah kepada saya dan keluarga.

“Perjalanan berbayar untuk Eropah tetapi saya terpaksa menolak,” katanya seperti dilapor New Straits Times, hari ini.

Ditanya mengapa tidak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Salahuddin berkata pada masa itu, beliau tidak pasti dengan sifat tawaran berkenaan.

Pada 2 Disember lalu, media melaporkan mengenai kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel berkenaan kemudian membungkus semula daging itu menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia sebelum ia terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button