Suspek kes kartel daging haram didakwa esok
Kes didakwa mengikut Akta Perihal Perdagangan 2011
JOHOR BAHRU, 27 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Suspek yang terbabit dalam kes kartel daging sejuk beku yang diragui status halal akan didakwa pagi esok.
Perkara itu disahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor menerusi jemputan rasmi kepada media.
Suspek kes kartel berkenaan akan didakwa mengikut Akta Perihal Perdagangan (APD) 2011, yang mana kes disebut di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Disember lalu, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.
Kartel berkenaan didakwa membungkus semula daging menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.
Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.