Berita Utama

Tempoh kuarantin patut selaras tanpa kira kedudukan, pangkat

Kerajaan patut buat kawalan lebih ketat, bukan makin longgar

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 27 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Arahan dan tempoh kuarantin kepada rakyat termasuk jemaah menteri yang kembali dari luar negara hendaklah selaras tanpa mengira kedudukan dan pangkat, demikian tegas Ketua Unit Kesihatan Awam I-Medik, Dr Mohd Ihsanuddin Abas. 

Ini kerana, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah menyatakan bahawa tempoh kuarantin adalah selama 10 hari, dan bertepatan dengan fakta kajian bahawa tempoh inkubasi untuk COVID-19 adalah 10 ke 14 hari.

Maka, seharusnya pewartaan peraturan-peraturan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit juga sepatutnya mengikut panduan terkini.

“Kita sendiri lihat kesan kelonggaran arahan kesihatan awam seperti saringan dan kuarantin apabila merentas negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Disember lalu. Natijahnya, kes positif terus meningkat dan tidak dapat diturunkan lagi.

“Ketegasan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mengeluarkan arahan kawalan pergerakan hendaklah konsisten dan bertepatan dengan fakta kajian saintifik dan nasihat KKM.

“Sepatutnya fokus kerajaan adalah untuk terus menurunkan kes harian dengan kawalan yang lebih ketat, tetapi malangnya kelonggaran demi kelonggaran dibuat setiap hari,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Ihsanuddin menegaskan, ketidakselarasan ini bukan sahaja membimbangkan rakyat, tetapi menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati rakyat yang telah patuh kepada segala arahan dengan baik.

“Kita tidak pasti sampai bila pandemik ini akan berlaku tetapi ‘pandemic fatigue’ sudah mula kelihatan di kalangan pekerja-pekerja kesihatan KKM dan rakyat umumnya.

“Pengurusan yang lebih cekap dan berintegriti diperlukan untuk memastikan kerjasama dan kepatuhan rakyat dapat dikekalkan sehingga pandemik dapat dikawal,” katanya.

Terdahulu, dokumen perintah berjudul ‘Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021’ dikeluarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba mengikut kuasa (Akta 342) Seksyen 29 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Berdasarkan perintah berkenaan, menteri berkaitan tidak perlu menjalani prosedur operasi standard (SOP) tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan kerajaan untuk mereka yang masuk dari luar negara.

Menteri diberi pengecualian bagi menjalani pemerhatian hanya selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Pengecualian itu berkuat kuasa mulai 9 Februari hingga 1 Ogos depan seperti mana dalam dokumen pewartaan yang disiarkan dalam portal rasmi e-warta Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button