Dunia

Tunjuk perasaan tak endah amaran teruskan protes antikudeta

Pasukan keselamatan dikerah halang penunjuk perasaan masuk pusat bandar

YANGON, 27 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Penunjuk perasaan terus berhimpun di jalan-jalan raya di Myanmar pada Selasa untuk hari keempat berturut-turut dan tidak mengendahkan amaran tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap perhimpunan awam, lapor Agensi Anadolu.

Majlis Pentadbiran Negara dipimpin Panglima Tentera Min Aung Hlaing selepas rampasan kuasa minggu lalu, mengenakan perintah berkurung sepanjang malam di seluruh negara dan melarang perhimpunan awam melebihi lima orang.

Ratusan ribu penunjuk perasaan anti-kudeta mengadakan protes di tiga bandar terbesar Yangon, Mandalay dan Nay Pyi Taw, dan beberapa bahagian lain, menuntut pemerintahan junta ditamatkan dan pembebasan pemimpin yang ditahan.

Pasukan keselamatan dikerahkan untuk menghalang penunjuk perasaan di pinggir bandar daripada memasuki pusat bandar.

Pada Isnin malam, Panglima Tentera, dalam ucapan pertamanya di televisyen sejak penggulingan kuasa, memberi jaminan pilihan raya baharu akan diadakan selepas setahun pemerintahan tentera.

Anggota parti pemerintah Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Zin Mar Aung, berkata mereka tidak akan termakan janji manis junta tentera.

“Kami telah melihat janji palsu seperti itu ketika rampasan kuasa tentera pada 1990. Kami mengambil masa dua dekad untuk kembali ke pemerintahan awam. Kami tidak akan membiarkan ini terjadi lagi,” kata Aung. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button