Berita Utama

Data peribadi 10 juta rakyat bocor?

Terima laporan data 200,000 orang awam dijual menerusi platform e-dagang Ifmal

KUALA LUMPUR, 28 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerima laporan berhubung dakwaan kebocoran data peribadi orang awam.

Ketua Unit Siasatan JPDP Rafiz Ismail berkata, semalam, pihaknya mendapat laporan berkaitan kebocoran data 10 juta rakyat daripada senarai daftar pengundi pilihan raya.

Manakala, Sabtu lalu, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan data 200,000 orang awam dijual menerusi platform e-dagang Ifmal.

“Berkaitan kebocoran data 10 juta rakyat, kita sudah memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ia dikaitkan dengan mereka.

“Saya difahamkan SPR menerusi jabatan undang-undangnya giat menyiasat perkara ini.

“Mungkin SPR yang akan mengeluarkan kenyataan nanti bagi menerangkan mengenai apa yang berlaku di sebalik dakwaan kebocoran data pengundi,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Bagaimanapun, Ifmal dalam satu kenyataan menerusi Facebook dilaporkan menafikan dakwaan berlaku kebocoran maklumat berpunca daripada mereka.

Katanya, dakwaan itu adalah fitnah dan ianya satu cubaan untuk menipu, merosakkan nama baik dan kredibiliti sistem e-dagang Ifmal.

Mengulas perkara itu, Rafiz berkata, JPDP masih giat menyiasat perkara itu dengan kerjasama pihak pengurusan Ifmal dan Cyber Security Malaysia (CSM) berhubung data yang dijual di platfom e-dagang.

Katanya, JPDP mendapatkan bantuan pihak yang dikaitkan dengan dakwaan itu, sebelum tindakan susulan dapat diambil.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button