Dunia

Facebook buang tuduhan palsu mengenai COVID-19, vaksin

Perkenal polisi baharu fokus pada akaun langgar peraturan

SAN FRANSISCO, 28 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Syarikat gergasi media sosial, Facebook memperluaskan usahanya untuk menghapuskan banyak konspirasi berkaitan COVID-19 yang memomokkan orang ramai supaya tidak mengambil vaksinasi pandemik.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, sejak Disember lalu, pihaknya telah menghapuskan pelbagai dakwaan palsu mengenai vaksin COVID-19 yang didedahkan pakar kesihatan awam. 

“Hari ini, setelah berunding dengan organisasi kesihatan terkemuka, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kami memperluas senarai dakwaan palsu termasuk tuduhan tidak berasas berkaitan COVID-19 serta vaksinnya,” kata Facebook. 

Berdasarkan peraturan baharu, Facebook akan membuang sebarang hantaran yang mendakwa vaksin COVID-19 tidak berkesan serta tuduhan kononnya ia berbahaya kepada awam atau menyebabkan autisme. 

Facebook akan menguatkuasakan polisi baharu dengan fokus khusus pada laman, kumpulan dan akaun yang melanggar peraturan, selain memberi amaran akan menyekat pengguna yang berulang kali berkongsi dakwaan palsu berkaitan vaksin.

“Polisi baharu ini akan membantu kami untuk terus mengambil tindakan agresif terhadap salah maklumat mengenai COVID-19 dan vaksin.

“Facebook telah mengambil langkah untuk membataskan maklumat salah mengenai vaksin COVID-19 sejak Disember 2020, dan menghapuskan hantaran yang mengandungi maklumat salah mengenai vaksin seperti dakwaan palsu vaksin COVID-19 mempunyai mikrocip,” katanya. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button