Dunia

Facebook disaman dedah data peribadi pengguna pada pihak ketiga

Pernah didenda AS$690,000 kerana salah guna data dalam kempen politik

LONDON, 28 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Facebook berdepan tuntutan mahkamah setelah dituduh menyebabkan kehilangan data peribadi milik lebih sejuta penggunanya di England dan Wales. 

Tindakan yang dilakukan oleh firma undang-undang Hausfield dan difailkan di Mahkamah Tinggi London pada Selasa itu, berhujah bahawa syarikat gergasi media sosial terbabit membenarkan pihak ketiga mengakses maklumat pengguna tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka antara 2013 dan 2015. 

Kes dikemukakan oleh Peter Jukes, seorang wartawan yang diwakili firma Hausfield – kerana mendakwa, datanya serta sejuta pengguna lain dikongsikan oleh Facebook dan kumpulan analisis, Cambridge Analytica. 

Dalam satu kenyataan yang dipetik akhbar Daily Telegraph, Jukes mendakwa, Facebook memanfaatkan kepercayaan dengan menjadikan data peribadi pengguna boleh dikongsi untuk aplikasi pihak ketiga, tanpa persetujuan dan pengetahuan mereka. 

“Ini membuka ruang untuk data peribadi kami disalahgunakan. Maka, adalah wajar bagi kita sebagai pengguna menganggap Facebook tidak bertanggungjawab kerana tidak mematuhi undang-undang dan menyalahgunakan data peribadi kita, untuk memastikan ianya tidak berulang,” katanya. 

Dalam aplikasi di Facebook, Cambridge Analytica mengumpulkan data sebilangan besar pengguna yang berinteraksi dengannya sebelum 2018, ketika terdedah dalam skandal privasi yang menutup syarikat itu selain mendedahkan bagaimana maklumat pengguna disalah guna tanpa persetujuan. 

Pada tahun 2019, Pejabat Pesuruhjaya Maklumat United Kingdom (ICO) mendedahkan bahawa antara tahun 2007 dan 2014, Facebook memproses data penggunanya dengan membenarkan pihak ketiga, seperti Cambridge Analytica mengakses maklumat peribadi.

Selepas siasatan, platform media sosial itu didenda AS$690,000 kerana penyalahgunaan data peribadi dalam kempen politik.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button