Berita Utama

Guna pelbagai kaedah untuk daftar suntikan vaksin COVID-19

Perlu babitkan pelbagai agensi supaya tiada rakyat yang tercicir

KUALA LUMPUR, 28 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 yang dijangka dibuka tidak lama lagi untuk orang ramai perlulah mengguna pakai pelbagai platform mudah dan mesra rakyat supaya boleh dicapai oleh semua peringkat masyarakat bagi memastikan tiada yang tercicir dalam pengambilan vaksin itu.

Selain daripada MySejahtera seperti yang dicadangkan ramai pihak, pelbagai cara dan kaedah lain juga perlu dipertimbangkan terutamanya kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada aplikasi itu, demikian menurut pakar-pakar perubatan.

Bagi Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, ini termasuklah cara lazim iaitu mengisi borang secara manual bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak mempunyai akses kepada Internet.

Sebenarnya tidak sukar untuk menyampaikan maklumat mengenai vaksin kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman memandangkan adanya klinik-klinik kesihatan kerajaan dan klinik ‘mobile’ atau bergerak yang boleh menjadi penghubung dengan penduduk di situ.

“Kempen perlu dijalankan bagi memastikan penduduk tahu dan peka mengenai segala proses pendaftaran suntikan vaksin sebagai contoh, jawatankuasa kampung atau surau di kawasan pedalaman atau luar bandar boleh membantu perhebatkan kempen-kempen seperti pemberian borang.

“Klinik-klinik kesihatan kerajaan terutamanya di luar bandar juga boleh memainkan peranan dengan menghubungi pesakit mereka dan memberikan borang memandangkan mereka mempunyai senarai pesakit yang merupakan anggota komuniti di kawasan mereka,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Berkongsi pandangan yang sama, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Falkulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berkata, berdasarkan pengalaman beliau bertugas di klinik kesihatan, klinik itu atau klinik desa boleh dijadikan satu daripada cara untuk membuat pendaftaran penerima vaksin itu.

“Klinik desa boleh diberikan tanggungjawab untuk mengenal pasti individu-individu yang berkenaan bagi tujuan pendaftaran.

“Dengan kaedah ini, kerajaan dapat memudahkan mereka yang tidak mempunyai akses Internet yang baik di tempat tinggal mereka dan juga membantu individu yang tidak mempunyai kemahiran dalam pendaftaran secara dalam talian,” jelasnya.

Beliau berkata, selain menggunakan aplikasi dalam talian seperti MySejahtera, kerajaan juga disaran mewujudkan laman web khusus bagi memudahkan rakyat Malaysia mengakses proses pendaftaran itu.

“Saya secara umum berpendapat pendaftaran secara dalam talian itu memang sangat memudahkan…mengambil contoh kaedah bancian secara dalam talian, mungkin kerajaan boleh menggunakan kaedah yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Malina juga berpendapat bahawa kerajaan perlu mengambil kira penduduk di negara ini yang masih mempunyai masalah status kewarganegaraan bagi menerima vaksin itu.

Beliau berkata, dalam menguruskan pendaftaran suntikan vaksin ini perlu melibatkan pelbagai agensi agar tiada yang tercicir terutamanya mereka yang berisiko.

“Kita maklum bahawa vaksin akan diberikan kepada mereka berusia 18 tahun ke atas, tetapi terdapat dalam kalangan mereka itu masih menghadapi masalah status kewarganegaraan, perkara itu perlu diambil kira bagi pertimbangan pendaftaran,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Universiti Malaya Prof Dr Sazaly Abu Bakar berpendapat pendaftaran secara berperingkat perlu dilakukan bagi mengelakkan timbul masalah teknikal bagi aplikasi MySejahtera.

Menjelaskan cadangan itu, beliau berkata, orang ramai boleh membuat pendaftaran vaksin itu mengikut zon bagi setiap negeri supaya pendaftaran suntikan vaksin itu lebih teratur dan sistematik.

“Paling penting adalah ‘server’ (pelayan) MySejahtera mempunyai kapasiti yang tinggi. Pendaftaran pelaksanaan vaksin itu mungkin boleh dilakukan mengikut zon iaitu seperti di Semenanjung Malaysia ini dibahagikan kepada tiga atau lima zon, begitu juga di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Selain itu, Dr Sazaly berkata, vaksin juga boleh diberikan secara berperingkat misalnya mengikut lokasi zon merah terlebih dahulu.

Mengulas mengenai kemungkinan sebahagian masyarakat luar bandar tidak biasa dengan kegunaan MySejahtera, beliau berpendapat anak-anak perlu memainkan peranan mereka dengan membimbing ibu bapa untuk melakukan pendaftaran secara dalam talian.

“Saya rasa tidak ada masalah penggunaan MySejahtera ini di mana-mana sahaja, sekarang ini pun masyarakat di luar bandar mempunyai pengetahuan dalam urusan secara dalam talian sebagai contohnya pembayaran tanpa tunai iaitu menggunakan kad dan sebagainya,” katanya.

Pada 4 Februari lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini, dengan kerajaan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma dalam tiga fasa.

Fasa pertama dari Februari hingga April adalah untuk sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam memerangi wabak itu, fasa kedua dari April-Ogos adalah bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU). Fasa ketiga pula adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button