Dunia

Indonesia pindah rakyat jika konflik Myanmar makin buruk

Kedutaan jamin ikuti perkembangan dari dekat, nasihat rakyat kekal tenang

JAKARTA, 28 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Indonesia akan memindahkan rakyatnya di Myanmar jika konflik akibat rampasan kuasa negara itu semakin buruk.

Duta besar Indonesia, Iza Fadri berkata, rancangan pemindahan adalah sebahagian daripada prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Luar Negeri, demi memastikan keselamatan rakyat Indonesia di Myanmar. 

“Ya, itu (rancangan pemindahan) sesuai dengan prosedur Kementerian Luar Negeri,” katanya. 

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Negeri, Teuku Faizasyah berkata, keputusan untuk memindahkan rakyatnya akan dilakukan oleh kedutaan di Myanmar. 

“Warganegara Indonesia berada dalam keadaan baik. Kedutaan kita memiliki kemampuan untuk menilai dan mengesyorkan pelaksanaan tindakan kecemasan,” kata Faizasyah. 

Menurut data kementerian, setakat ini terdapat 500 warga Indonesia yang tinggal di Myanmar, di mana kebanyakan mereka bekerja di sektor minyak dan gas, industri pakaian serta kapal di Yangon. 

Kedutaan Besar Indonesia di Yangon mendesak warganya untuk kekal tenang dan waspada, selain menjamin akan mengikuti rapat perkembangan situasi di negara itu. 

Myanmar kini ditadbir tentera selepas Aung San Suu Kyi dan pemimpin awam lain ditahan dalam rangkaian serangan awal pagi, mengakhiri percubaan singkat negara itu mentadbir secara demokrasi.

Suu Kyi – yang belum dilihat di khalayak awam – menang besar dengan parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) yang dipimpinnya pada November lalu, namun tentera menyatakan pilihan raya itu palsu.

Tentera dan kereta perisai memenuhi jalan di bandar besar, bagaimanapun pengambilalihan itu tidak mendapat sokongan rakyat susulan protes jalanan besar-besaran. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button