Berita Utama

Jangan cantum meja di restoran

Pelanggan boleh dikenakan kompaun jika gagal patuhi arahan

KUANTAN, 28 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Mana-mana pelanggan di restoran, kedai makan dan gerai diberi amaran supaya tidak mencantumkan meja sehingga melebihi dua orang ketika berada di premis berkenaan.

Jika gagal mematuhi arahan demikian, pelanggan boleh dikenakan kompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP), demikian tegas Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

“Saya beri amaran bahawa polis akan bertindak tegas dengan mengeluarkan kompaun sekiranya didapati ada pelanggan yang bertindak mencantumkan meja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Operasi Bersepadu Perdana yang memberi tumpuan pencegahan jenayah dan pematuhan SOP di sekitar bandar Kuantan.

Sehubungan itu, katanya, pelanggan yang berada di premis makanan diminta mematuhi SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu dua pelanggan setiap satu meja.

“Dalam hal ini, patuhi kebenaran yang dikeluarkan pihak berkuasa dan mengikut SOP iaitu mengisi maklumat dan melakukan pemeriksaan suhu badan sebaik memasuki premis,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button