Berita Utama

Kenapa dulu ‘membisu’ ditawar percutian mewah oleh kartel daging haram?

Gesa tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja bongkar kes habis-habisan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 28 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Pendedahan Datuk Seri Salahuddin Ayub berkaitan ‘tawaran istimewa’ dari pengimport yang mempunyai kaitan dengan kartel daging, bukan suatu perkara  mengejutkan.

Ini kerana, apa yang dilakukan pihak berkenaan adalah modus operandi kartel bagi memegang punca kuasa dahulu, kata Naib Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA), AD Satiman.

Pun begitu, apa yang menghairankan adalah sikap Salahuddin yang ketika itu memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. 

“Beliau kononnya mendakwa sudah mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perjumpaan antara menteri dan juga pemain industri, apabila ditawarkan dengan pakej percutian yang digambarkan sebagai ‘kunjungan hormat’.

“Tapi mengapa tidak terus dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sedangkan beliau adalah ‘menteri’ dan secara tidak langsung pastinya kertas siasatan boleh dibuka?,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Salahuddin mendedahkan pernah menerima tawaran percutian mewah ke Eropah dari syarikat pengimport yang mempunyai kaitan dengan kartel daging.

Memetik laporan New Straits Times, beliau mendakwa didekati oleh syarikat itu dua tahun lalu ketika pertama kali memegang jawatan menteri.

Dakwanya, tawaran tersebut diberikan ketika mengadakan perjumpaan bersama wakil pengimport daging itu beberapa bulan selepas dilantik ke jawatan tersebut.

“Mereka menawarkan pakej percutian mewah kepada saya dan keluarga. Perjalanan berbayar untuk Eropah tetapi saya terpaksa menolak,” katanya

Mengulas lanjut, AD Satiman menegaskan, isu kartel daging ini pada hakikatnya sudah membarah lama ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), dan kini Perikatan Nasional (PN).

“Laporan menyebut kegiatan kartel daging ini sudah 40 tahun bersarang di Malaysia. Sudah berapa ramai menteri duduk di posisi itu. Semua perlu bertanggungjawab. 

“Adalah memalukan kerana Malaysia negara Islam, memiliki majoriti penduduk beragama Islam dan menebal sejarah tamadun Islam di rantau ini bermula dari Kesultanan Melayu Melaka. 

“Namun gagal memastikan rakyatnya mendapat bekalan makanan halal (merujuk kes kartel daging).

“Ini tidak akan dapat diselesaikan kerana walau berubah kepimpinan negara, kartel daging ini sentiasa berjaya memegang menteri yang berkaitan agar menutup mata kegiatan mereka,” katanya.

Mahu siasatan menyeluruh dijalankan, AD Satiman menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi ‘menggali’ sedalamnya kes ini sekali gus menghentikan kegiatan kartel daging haram.

Disember lalu, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina. 

Kartel berkenaan didakwa membungkus semula daging menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button