Lebih 20,000 pesakit COVID-19 gejala ringan kuarantin di rumah
Pesakit lapor status kesihatan setiap hari melalui aplikasi MySejahtera

PUTRAJAYA, 28 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Seramai 20,089 pesakit positif COVID-19 ketika ini sedang menjalani pengasingan kendiri di rumah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Berdasarkan pecahan, bilangan pesakit menjalani pengasingan di rumah yang tertinggi ialah di Johor iaitu seramai 6,016 pesakit diikuti oleh Selangor dengan 5,258 pesakit serta Kuala Lumpur dan Putrajaya membabitkan 4,489 pesakit.
Pesakit yang menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari adalah mereka yang tidak bergejala dan bergejala ringan serta memenuhi kriteria ditetapkan oleh KKM.
“Kesemua pesakit ini akan dipakaikan gelang pengawasan sepanjang tempoh pengasingan mereka di rumah.
“Pesakit juga perlu melaporkan status kesihatan setiap hari melalui aplikasi MySejahtera atau apabila dihubungi oleh anggota kesihatan.
“Sekiranya pesakit mengalami kemerosotan gejala, mereka dinasihatkan menghubungi CAC dengan kadar segera atau talian 999 untuk kecemasan,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, pesakit dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang mengendalikan penilaian terhadap mereka, katanya.
“Pusat penilaian ditubuhkan bagi mengendalikan penilaian pesakit positif yang menjalani rawatan pemantauan di rumah dan perkhidmatannya dimulakan sejak 25 Januari secara berperingkat di semua negeri.
“Sehingga kini, terdapat 152 pusat CAC yang sedang beroperasi di seluruh negara dan secara kumulatif, sejumlah 60,052 pesakit telah dipantau oleh CAC.
“Secara umumnya, CAC bertindak sebagai pusat rujukan bagi mengenal pasti, menilai, memantau serta menguruskan pesakit yang telah disahkan positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, penilaian dan pemantauan kepada semua pesakit dijalankan oleh pasukan diketuai oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga serta dibantu oleh anggota-anggota sokongan klinikal yang lain.
Bagi melancarkan perkhidmatan, CAC beroperasi sama ada di stadium, dewan komuniti, balai raya atau mana-mana fasiliti kerajaan bergantung kepada kesesuaian dan keperluan setempat.
“Secara umumnya, CAC beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja. Bagaimanapun, terdapat juga CAC yang beroperasi pada hari minggu,” katanya.
Pengurusan pesakit tertakluk di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kes Jangkitan Penyakit Korona Virus 2019 (COVID-19), Akta Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).