Berita Utama

Misi 7,000 pek bantuan Yayasan Ikhlas untuk keluarga Sabah

TUDM setuju berikan khidmat penghantaran kargo secara percuma

KOTA KINABALU, 28 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan peduli dan prihatin akan mengagihkan pek bantuan berjumlah RM1.4 juta ke beberapa daerah di Sabah bermula 12 Februari sehingga 18 Februari 2021.

Misi Pek Ikhlas keempat di Semporna, Tawau dan Lahad Datu akan membabitkan pengagihan 1,000 pek daripada 7,000 pek keseluruhan bekalan asasi makanan untuk para asnaf yang terkesan akibat kemiskinan dan pandemik COVID-19. 

Misi ini akan disertai Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Beliau berkata, ini adalah satu daripada tujuh misi bagi mengagihkan bantuan kepada 7,000 keluarga miskin di Sabah yang telah bermula sejak Januari lalu.

“Persediaan rapi sedang kami jalankan. Pembungkusan barangan bantuan sedang dilakukan dengan kerjasama sukarelawan yang gigih membantu.

“Alhamdulillah, pihak Tentera Udara Malaysia (TUDM) juga telah bersetuju memberikan khidmat penghantaran kargo secara percuma,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam misi berkenaan, pihaknya turut merancang untuk terbabit dalam pembangunan komuniti terpilih bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis tempatan di negeri itu dengan sokongan pihak berkuasa tempatan.

“Misi di musim pandemik adalah lebih mencabar dan mesti mengikut piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Yayasan Ikhlas (5628 3463 6228) dengan rujukan/Ref: Pek Ikhlas.

Atau juga boleh klik pada pautan ini untuk memberikan sumbangan anda https://www.billplz.com/PekIkhlasMakananAsas

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button