Berita Utama

Yayasan Maghfirah sumbang komputer kepada pelajar memerlukan

Ada yang terpaksa bergilir pinjam telefon untuk ikuti kelas PdPR

BANGI, 28 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Bukan hanya terpaksa ke pusat internet berhampiran, malah ada juga pelajar yang bergilir meminjam telefon pintar ibu bapa bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Memahami akan kesusahan itu, Yayasan Maghfirah dengan kerjasama Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Kuala Lumpur menghadiahkan komputer riba kepada lima pelajar di sekitar ibu negara.

Lima unit komputer riba itu adalah inisiatif di bawah projek bantuan barangan sekolah, yang turut merangkumi peranti elektronik lain termasuk tablet bagi memudahkan kaedah PdPR.

“Kebanyakan pelajar terpaksa ke pusat internet berhampiran untuk menyalin kerja sekolah yang diberikan oleh guru secara atas talian.

“Bukan itu sahaja, malah ada yang terpaksa bergilir meminjam telefon ibu bapa untuk mengikuti pembelajaran atas talian dan ada juga menggunakan peranti yang sudah uzur bagi mengikuti PdPR,” kata Yayasan Maghfirah dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Yayasan Maghfirah mengajak lebih ramai pihak turut sama menyumbang di dalam projek berkenaan bagi membantu lebih ramai murid yang memerlukan.

“Terima kasih diucapkan kepada para penyumbang yang bersama-sama hulurkan bantuan anda.

“Semoga bantuan ini dapat memberi kemudahan kepada pelajar-pelajar ini untuk meneruskan PdPR,” katanya.

Mana-mana syarikat, individu atau persendirian yang ingin menyumbang untuk projek bantuan barangan sekolah, boleh menyalurkan ke akaun Yayasan Maghfirah CIMB 8603221427.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button