Berita Utama

Isu tanah rizab: Mohon campur tangan Sultan Perak

Tubuh suruhanjaya siasatan bebas dedah isu secara kronologi

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dimohon untuk campur tangan berhubung isu Tanah Rizab Melayu di Sitiawan yang didakwa sudah berpindah milik kepada bukan Melayu.

Selain itu, satu suruhanjaya siasatan bebas juga wajar ditubuhkan jika dakwaan berlakunya penyelewengan membabitkan tanah berkenaan adalah benar.

Pensyarah Kanan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar di Perak, Prof Madya Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak berkata, suruhanjaya siasatan bebas itu perlu bagi menyiasat isu secara menyeluruh.

Katanya, siasatan perlu dilakukan secara kronologi bermula tanah tersebut diwartakan, kaedah pemberian dan bagaimana ia boleh diserahkan kepada pemaju untuk dibangunkan dengan projek pembangunan harta tanah.

“Sekiranya kelulusan pindah milik yang melibatkan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai-pegawai pentadbiran pejabat tanah, maka siasatan menyeluruh perlu dilakukan melalui penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan bebas serta memerlukan campur tangan oleh Sultan Perak.

“Mengapa perlu penglibatan Sultan Perak? Ini kerana Baginda bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan agama Islam dan kepentingan masyarakat Melayu di dalam negeri dan jajahan takluknya sebagaimana yang terkandung di dalam Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Sebelum ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak mendedahkan kawasan seluas 649.19 hektar tanah berstatus Tanah Rizab Melayu di Mukim Sitiawan, Manjung diberikan hak milikan kepada bukan Melayu.

Pengerusi Penyelarasnya, Datuk Hamidah Osman berkata, perkara itu dikesan melalui pencarian rasmi yang dibuat di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Daripada keluasan itu, beliau berkata, sebanyak 317 lot telah dipecahkan dan diberi milikan bagi tujuan pertanian untuk tanaman getah serta kelapa sawit.

Susulan pendedahan itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan menolak untuk mengulas mengenai dakwaan berkenaan, kerana mahu memberi tumpuan berkaitan COVID-19 dan meminta PTG negeri menjawab.

Namun difahamkan isu tanah adalah di bawah portfolionya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button