Berita Utama

Persiap banjir di Pahang, Pemuda ISMA bekal 32 unit tangki air statik

Inisiatif libat kerjasama Yayasan Maghfirah, Kelab Perwira Aman Palestin, Yayasan Ikhlas

BANGI, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Pemuda gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) komited untuk terus membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir di Pahang tanpa mengharapkan populariti mahupun sanjungan.

Justeru, sebagai persiapan bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku pada masa akan datang, sayap pemuda ISMA itu mengambil inisiatif untuk membekalkan 32 unit tangki air statik ke lokasi strategik masjid-masjid di daerah Bera, Temerloh dan Pekan.

Inisiatif itu turut melibatkan kerjasama dengan Yayasan Maghfirah, Kelab Perwira Aman Palestin dan Yayasan Ikhlas.

Pemuda ISMA yakin menerusi inisiatif itu juga masjid-masjid tersebut dapat diimarahkan.

“Jika ada penduduk yang masih terputus bekalan air, boleh dapatkan dari masjid tersebut yang berdekatan kediaman mereka.

“Moga hasrat ini dapat direalisasikan dan lebih ramai rakyat Pahang akan mendapat manfaat dari inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Pemuda ISMA berkongsi surat penghargaan yang diterima dari Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail susulan membantu dalam operasi banjir yang berlaku di negeri itu, baru-baru ini.

Surat yang bertarikh 25 Januari itu mengatakan sumbangan tersebut sangat dihargai sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab Persatuan Sukarelawan ISMA dan Yayasan Maghfirah membantu kerajaan negeri meringankan beban mangsa banjir di Pahang.

Susulan itu, dengan rasa rendah diri, Pemuda ISMA juga merakamkan penghargaan di atas kesudian kerajaan negeri menerima bantuan dari orang ramai yang telah diamanahkan.

“Tidaklah kami mengharapkan populariti mahu pun sanjungan, sebaliknya kami benar-benar ingin membantu meringankan beban ditanggung terutamanya terhadap mangsa-mangsa banjir.

“Dan kami akan terus komited dalam membantu dalam misi-misi bantuan bersesuaian di masa mendatang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button