Berita Utama

Ambil tahu, elak ditipu scammer menyamar pegawai LHDN

Sejak 1 Januari lalu, 18 kes sindiket menyamar dikesan

KUALA LUMPUR, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan kegiatan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai LHDNM bertujuan untuk memperdayakan mangsa. Orang ramai hendaklah lebih peka dan sentiasa menasihatkan ahli keluarga serta masyarakat sekeliling berkenaan perkara ini agar dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

Mengikut maklumat yang dikumpulkan menerusi laporan di media massa, bagi tahun 2021 untuk tempoh 1 Januari 2021 sehingga 9 Februari 2021 sahaja, sebanyak 18 kes sindiket penyamaran sebagai pegawai LHDNM melibatkan kerugian sekurang-kurangnya berjumlah RM636,311.00 telah dilaporkan. Taktik keji dengan menakut-nakutkan mangsa menyebabkan mangsa panik dan akhirnya memaksa mangsa mengambil tindakan terburu-buru dengan menyerahkan butiran peribadi dan perbankan, malah ada yang secara sukarela membuat bayaran wang tunai kepada ahli sindiket.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan jangan mudah terpedaya serta lakukanlah pengesahan dengan LHDNM terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan menghubungi talian Hasil Care Line atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDNM berhampiran. Di samping itu, orang ramai juga boleh membuat semakan modus operandi sindiket penipuan ini di portal rasmi LHDNM atau klik capaian pantas berikut:
http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=10&bt_skum=1&bt_posi=1&bt_unit=2&bt_sequ=1

LHDNM sentiasa melakukan usaha-usaha yang perlu dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai agar sentiasa cakna atau ambil tahu isu berkaitan aktiviti scammer ini. Selain daripada peringatan melalui saluran media massa dan media sosial, LHDNM turut menggunakan saluran e-mel rasmi [email protected] untuk menghantar infografik peringatan berkaitan aktiviti scammer. Sehingga kini, 2,927,400 e-mel telah dikirim kepada alamat e-mel yang terdapat dalam pangkalan data LHDNM dan 814,865 e-mel masih lagi dalam peringkat proses pengiriman.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas mengenai perkara ini boleh dibuat secara dalam talian melalui saluran berikut:

a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);

b) HASiL Live Chat; dan

c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

Sila klik di sini untuk lampiran

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Tarikh: 11 Februari 2021

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Tel: 03-8313 8888 samb. 21658/21666/21695/21674/21663
Faks: 03-8313 7873
Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my

Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button