Berita UtamaDunia

Gempa bumi 7.7 skala Richter cetus tsunami di Pasifik Selatan

Penduduk rasa gegaran tapi tiada kerosakan berlaku

NOUMEA, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter melanda selatan Pasifik malam tadi dan mencetuskan tsunami kecil yang tidak menyebabkan kerosakan terhadap negara kepulauan di wilayah ini.

Menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku tengah malam pada Khamis waktu tempatan (1320 GMT Rabu) kira-kira 415 kilometer (258 batu) timur Vao di New Caledonia pada kedalaman 10 kilometer.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik NWS kerajaan Amerika Syarikat (AS) berkata, ‘gelombang tsunami berbahaya’ diramalkan di beberapa pantai.

Dikatakan gelombang yang mencapai antara 0.3 dan satu meter di atas permukaan air pasang dijangka berlaku di Fiji, New Zealand dan Vanuatu.

Fiji Seismology di akaun Twitter berkata, gelombang 0.3 meter melanda Fiji.

Bagaimanapun jabatan seismologi negara pulau itu kemudiannya membatalkan amaran tsunami.

Penduduk tempatan di Vanuatu, ibu negara Port Vila berkata, mereka merasai gegaran tetapi tiada kerosakan berlaku sama ada ketika gempa atau pun susulan gempa.

Biro Meteorologi Australia menerusi Twitter mengesahkan bahawa tsunami telah tercetus.

Biro tersebut memberi amaran akan ancaman terhadap Pulau Lord Howe yang terletak sekitar 550 kilometer di timur daratan Australia, namun katanya pemindahan tidak perlu dilakukan.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan New Zealand mengeluarkan amaran ‘arus kuat dan luar biasa’ di pesisir utara, namun tiada risiko tsunami. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button