Berita Utama

I-Sinar boleh dikeluar tanpa syarat

Pertimbangan dibuat setelah dapat maklum balas awam

KUALA LUMPUR, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini dilaporkan sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan skim pengeluaran i-Sinar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pemansuhan itu dilakukan selepas menerima nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pertimbangan itu, katanya, dilakukan berdasarkan maklum balas pihak awam.

“Pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar ini akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki yang sedia ada.

“Langkah ini diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi ahli yang telah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

Berikut perincian pengeluaran:

A) Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

B) Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka. Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Sehubungan itu, Zafrul berkata, KWSP memerlukan sedikit masa untuk mempersiapkan struktur pengeluaran baharu ini.

“Pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat oleh KWSP dan kerajaan menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli semasa perubahan sistem ini dilaksanakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button