Berita Utama

Kartel daging: Kenapa Salahuddin tak dedah nama pihak tawar rasuah?

Sebagai pemimpin beramanah beliau patut dedah ketika berjawatan

BANGI, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Kegagalan Datuk Seri Salahuddin Ayub melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tawaran percutian mewah ke Eropah oleh individu dipercayai mewakili syarikat kartel daging import, menimbulkan pelbagai kemusykilan.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, lebih menghairankan lagi adalah apabila pendedahan itu hanya dibuatnya selepas tidak lagi memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

“Jika Datuk Seri Salahuddin Ayub benar-benar memandang serius berhubung isu tawaran rasuah kepadanya oleh kartel daging, mengapa beliau hanya mendedahkannya pada 9 Februari tahun ini setelah tidak lagi menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Sedangkan beliau sendiri menyebut tawaran rasuah ini dibuat pada tahun 2018 lagi, iaitu setelah beberapa bulan beliau dilantik sebagai menteri, sedangkan beliau sendiri telah mengenal pasti identiti penawar rasuah ini?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya Salahuddin terus melaporkan tawaran rasuah kepada SPRM, masalah monopoli loji penyembelihan di India yang mengeksport daging beku ke Malaysia oleh syarikat tersebut akan dapat diselesaikan dengan mudah.

Bahkan, tindakan sewajarnya boleh terus diambil terhadap syarikat tersebut, tegas Dr Kamarul.

“Tetapi soalannya, mengapakah beliau tidak melaporkannya kepada SPRM sekali gus menyebabkan masalah monopoli loji penyembelihan sukar diselesaikan?

“Mengapakah baru sekarang Salahuddin menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kartel daging sedangkan beliau menyedari masalah monopoli loji penyembelihan.

“Malah, membayangkan sesuatu tidak kena berlaku bila menyebut beliau tertanya-tanya siapa yang ‘menjaga’ pegawai-pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membuat lawatan ke loji penyembelihan di luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jika Salahuddin benar-benar memandang serius berhubung isu tawaran rasuah kepadanya oleh kartel daging, beliau sebagai seorang pemimpin yang amanah sepatutnya mendedahkan perkara itu ketika sedang menjawat jawatan tersebut.

“Mengapakah beliau tidak berani menamakan secara terbuka pihak yang beliau dakwa membuat tawaran rasuah kepada beliau yang mengikut New Straits Times pada 9 Februari 2021, ialah ‘wakil-wakil (representatives)’ daripada sebuah syarikat yang menguasai sekurang-kurangnya 4 daripada 7 loji penyembelihan di India yang mengeksport daging beku ke Malaysia secara monopoli?,” soalnya lagi.

Kini, Salahuddin dilaporkan berkemungkinan akan membuat laporan ke SPRM pada minggu depan selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Dakwanya, ia menunjukkan beliau memandang serius berhubung perkara ini.

“Betulkah Salahuddin mahu melaporkan tawaran rasuah kepadanya oleh kartel daging ini kepada SPRM disebabkan beliau ‘memandang serius berhubung perkara ini’ 

“Atau kerana hanya baru sekarang beliau sedar jika beliau gagal melaporkannya maka beliau boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan bersalah beliau boleh hilang jawatan MP dan ADUN kerana hukuman yang boleh dikenakan adalah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya?,” soalnya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button