Berita Utama

Kedah beri RM100,000 kepada 3 sekolah persendirian Cina

Mahu buktikan kerajaan PN Kedah adil kepada semua kaum

ALOR SETAR, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Sebanyak tiga buah sekolah menengah persendirian Cina menerima sumbangan berjumlah RM100,000 dari kerajaan negeri Kedah.

Majlis penyerahan replika cek telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, semalam.

Muhammad Sanusi berkata, bantuan tersebut membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah adil kepada semua kaum di negeri ini.

“Tuduhan kerajaan sekarang mendiskriminasikan atau bersikap tidak adil kepada kaum lain, tidak benar sama sekali.

“Kerajaan bertindak mengikut hak-hak semua kaum yang terdapat di dalam Perlembagaan negara,” katanya seperti di petik Harakah Daily.

Tiga sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah Sin Min (Persendirian) Alor Setar, Sekolah Menengah Sin Min (Persendirian) Sungai Petani dan Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian) Alor Setar.

Dalam majlis sama, Menteri Besar turut menyerahkan surat kebenaran pendudukan secara percuma kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Sungai Ular, Kulim.

Tanah seluas 1,107 ekar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) itu perlu diperbaharui pendudukan setiap tiga tahun sekali.

“Sebelum ini sekolah berkenaan membayar sebanyak RM163,000 untuk tempoh 30 tahun kepada PKNK tetapi selepas ini pendudukan itu dibenarkan secara percuma,” kata Muhammad Sanusi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button