Keluarga Adib luah rasa kecewa sikap sambil lewa kerajaan
Pelik pihak berkuasa ambil masa terlalu lama untuk bertindak

BANGI, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – “Kami sekeluarga rasa cukup kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan, seolah-olah sambil lewa, seolah-olah ia bukan masalah bagi kerajaan.”
Demikian luahan bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat parah dipukul dalam rusuhan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dua tahun lalu.
Mohd Kassim Abdul Hamid berkata, pihaknya masih lagi menunggu tindakan seterusnya daripada pihak berkuasa – walaupun sudah selalu minta kerajaan mempercepatkan proses siasatan dan tangkapan.
“Sebab perkara ini dah lama sangat, keputusan mahkamah sebelum ini pun dah dimaklumkan. Tapi pihak berkuasa masih tidak ambil tindakan lagi.
“Kami selalu minta pihak berkenaan percepatkan buat siasatan, buat tangkapan untuk mencari kebenaran kematian anak kami,” katanya seperti dilapor Malaysiakini, hari ini.
Mohd Kassim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kelewatan hasil siasatan polis berhubung kematian anggota bomba itu.
Disember lalu, kerajaan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memberi keadilan buat keluarga Allahyarham Muhammad Adib.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini pihak Jabatan Peguam Negara masih menunggu hasil siasatan polis yang difahamkan kini di peringkat akhir, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.
Namun sehingga kini masih tiada tindakan lanjut dibuat oleh pihak kerajaan.
Sehubungan itu, Mohd Kassim pelik mengapa kerajaan perlu mengambil masa terlalu lama dalam mengambil tindakan.
Walhal, kata Mohd Kassim, Mahkamah Koroner sebelum ini telah memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah.
“Saya pun musykil kenapa kerajaan lewat mengambil tindakan, sebab apa kerajaan ambil masa begitu lama, sedangkan keputusan prosiding inkues sebelum ini pun dah putuskan arwah meninggal dan mereka juga telah serahkan kepada pihak berkuasa untuk terus membuat tangkapan.
“Tapi, sampai sekarang pun tidak ada apa apa perkembangan dan kita pun tak tahulah macam mana,” katanya.
Meskipun begitu, Mohd Kassim berkata, pihaknya masih lagi meletakkan harapan yang tinggi untuk pihak berkuasa menyelesaikan kes berkenaan.
Beliau juga berharap tiada lagi suara-suara yang menyatakan akan membuat siasatan sebab-sebab kematian anaknya itu.
“Kita minta tiada lagi. Sebab apa? Sebab mahkamah dah putuskan sebab-sebab kematian itu, apa lagi sebab untuk buat siasatan berhubung kematian arwah.
“Saya harap itu tak adalah. Sekarang ini kerajaan hanya perlu buat tangkapan dan dakwa pihak-pihak yang terlibat.
“Dan buat masa ini kami ambil langkah tunggu dan lihat. Tapi kalau keadaan berterusan kita akan teruskan langkah seterusnya,” katanya.