Berita Utama

‘Publik berhak tahu sebab PAS gugurkan Khairuddin’

Penjelasan harus diberikan, bukan hanya kepada ahli parti sahaja

BANGI, 15 Jamadilakhir 1443H, Selasa – PAS perlu memberi penjelasan kepada umum berkaitan pengguguran Datuk Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas selepas kurang dua bulan beliau dilantik memegang jawatan itu.

“Jika masalah disiplin dalaman, maka penjelasan harus diberikan kepada publik, bukan hanya kepada ahli parti sahaja. Ia kerana pengguguran itu telah dimasyhurkan kepada publik secara rasmi oleh pimpinan parti PAS. Bukan bocor atau viral sahaja.

“YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin at Takiri adalah antara figura utama pemimpin PAS. Beliau seorang bekas menteri daripada parti PAS. Beliau juga adalah setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS.

“Maka menjadi hak publik, bukan hanya ahli PAS untuk mengetahui sebab pengguguran tersebut,” demikian kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, masalah disiplin mungkin menjadi faktor pengguguran Mohd. Khairuddin selepas Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menolak alasan pengguguran disebabkan perselisihan antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Maka menjadi hak publik, bukan hanya ahli PAS untuk mengetahui sebab pengguguran tersebut. Pengguguran kerana isu disiplin adalah satu pencalaran kepada akhlak berjamaah.

“Tiga pihak yang akan terjejas atau rasa terhiris dengan pencalaran tersebut. Diri beliau sendiri, para penyokong beliau atau pastinya Majlis Syura Ulamak PAS juga.

“Beliau memegang satu jawatan besar yang termaktub dalam perlembagaan PAS,” katanya.

Justeru, katanya, penjelasan rasmi harus diberikan segera kerana boleh membina persepsi yang baik kepada parti PAS.

“PAS sekarang memerintah negara. Segala mesti telus apabila melibatkan ahli parti yang memegang amanah rakyat. Beliau adalah wakil rakyat Parlimen Kuala Nerus,” katanya.

Nik Abduh menegaskan, Mohd. Khairuddin adalah pemimpin PAS yang amat kuat menyokong usaha memulihkan hubungan parti itu dan UMNO dalam MN.

“Logiknya Dato Khairuddinlah yang patut mencabar sebab beliaulah yang patut rasa tercabar atau marah kerana telah digugurkan dengan alasan disiplin jamaah yang masih belum diketahuinya secara rasmi sebagaimana telah dijelaskan dalam mesyuarat PAS Pusat,” katanya.

Terdahulu, Takiyuddin memberitahu PAS tidak pernah menggugurkan seseorang itu daripada jawatan hanya disebabkan berbeza pendapat, kecuali kerana bercanggah dengan perlembagaan parti.

Bahkan, dakwanya, PAS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada pihak mengaitkan pengguguran Khairuddin disebabkan usaha untuk memupuk kembali MN atau mengaitkan dengan PN.

“Saya hendak menafikan mana-mana pihak yang mendakwa dan mengatakan bahawa tindakan ke atas Khairuddin ini berpunca daripada MN atau PN, not at all, saya boleh mengesahkan perkara itu walaupun saya tak nak huraikan kenapa dan mengapa beliau digugurkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button