Berita Utama

Kerajaan setuju beri vaksin percuma kepada warga asing

'Melibatkan semua golongan bukan warganegara menetap di Malaysia'

KUALA LUMPUR, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Kerajaan setuju Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula penghujung bulan ini akan turut membabitkan pemberian vaksin secara percuma kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

Menurut kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin, perkara berkenaan diputuskan mesyuarat jemaah menteri semalam.

“Ini akan melibatkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di Malaysia. Walaupun begitu, keutamaan pemberian vaksin COVID-19 adalah kepada warganegara Malaysia terlebih dahulu. Maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warganegara asing akan diumumkan kelak.

“Keputusan itu selepas mengambil kira persekitaran selamat serta bebas COVID-19 dalam negara hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk diberikan vaksin dan pemberian vaksin dalam tempoh pandemik seperti mana sekarang adalah langkah berperikemanusiaan.

“Ini selari tema program berkenaan iaitu ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ serta menerusi pendekatan “tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat”,” menurut Menteri Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu hari ini.

Menurut kedua-duanya, keputusan itu juga diambil melihat kepada rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster yang wujud daripada pekerja asing dan kos rawatan dan kuarantin pesakit COVID-19 yang tinggi akibat jangkitan kepada kluster-kluster berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button