Artikel KhasBerita Utama

Rakyat berbilang agama Malaysia tolak dasar AS iktiraf LGBTQ

Dasar luar AS perlu menghormati amalan LGBTQ salah di Malaysia

JOE Biden dalam masa beberapa jam setelah mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke 47 menggantikan Donald Trump pada 20 Januari 2021 yang lalu telah menandatangani arahan eksekutif yang boleh ditakrifkan sebagai mengiktiraf dan mempromosi hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) di seluruh dunia.

Kerajaan Malaysia, melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menolak dasar luar pentadbiran baharu AS ini.

Hak asasi untuk semua rakyat Malaysia tidak kira jantina telahpun termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa diskriminasi terhadap warganegara tidak boleh diamalkan semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, warna kulit atau tempat lahir mahupun jantina.

Implikasi pengiktirafan Presiden Joe Biden mempunyai beberapa kesan negatif dari sudut agama, perundangan, budaya dan sains biologi. Dengan perintah eksekutif tersebut, wanita di AS terpaksa berkongsi tandas bersama mereka yang mengaku transwoman (mak nyah).

Kanak-kanak perempuan di sekolah di AS pula terpaksa akur dengan arahan esekutif ini sedangkan sebelum daripada pengisytiharan Joe Biden, para ibubapa dan penjaga telah menuntut agar tandas kanak-kanak perempuan di sekolah dikhususkan kepada mereka tanpa dibuka kepada kanak-kanak ‘trangender’ yang dikatakan menghidapi Gender Disforia.

Kes ini menimbulkan bantahan besar di sekolah-sekolah di sana kerana kanak-kanak perempuan tidak berasa selamat.

Masalah juga timbul dalam acara sukan, kerana atlit wanita telah mula merasakan ketidakadilan. Mereka terpaksa bersaing dengan transwoman yang secara biologinya adalah lelaki tetapi dibenarkan bertanding dalam acara wanita kerana menghormati pilihan identiti gender.

Secara biologinya, pengambilan hormon wanita oleh transwoman tidak berkesan ke atas otot kekar dan jisim tulang mereka, yang kekal terbentuk mengikut genetik lelaki XY.

Tidak hairanlah seorang transwoman Mary Gregory memenangi kesemua 9 rekod angkat berat wanita, dan memecahkan 4 rekod dalam penyertaan pertama kali beliau dalam sukan tersebut.

Transwoman Rachel McKinnon memecahkan rekod masa acara pecut basikal wanita dan dikritik hebat oleh atlit wanita. Seorang remaja wanita, Selina Soule gagal melayakkan diri dalam acara balapan wanita di New England setelah 2 transwoman memintas beliau.

Selain daripada itu, undang-undang anti-diskriminasi yang hadir bersama dengan pengiktirafan ini turut memangsakan ramai pihak hanya kerana mereka menyatakan pendapat berasaskan Sains dan pendirian agama.

Selebriti sukan ragbi Australia bernama Israel Foulau, ditamatkan karier hanya kerana mengatakan beliau tidak bersetuju dengan LGBT. Maya Forstater diberhentikan kerja hanya kerana menyatakan bahawa biologi seks tidak berubah.

Kes Maya Forstater mendapat perhatian penulis terkenal buku Harry Potter, JK Rowling yang turut merasakan ideologi transgender ini memangsakan wanita apabila istilah-istilah khusus biologi wanita seperti haid tidak lagi dianggap khusus untuk wanita kerana adanya transman (trangender lelaki /pengkid).

Masalah-masalah di atas adalah juga antara sebab kenapa isu Orientasi Seks dan Ekspresi Identiti Jantina (SOGIE) dalam komuniti LGBTQ amat berkait rapat dengan etika moral dan seksual serta nilai-nilai kekeluargaan tradisional yang menjadi pegangan agama-agama utama di Malaysia.

Ajaran agama telah melihat keperluan memelihara semua manusia dari ketidakadilan ini.

Berdasarkan hakikat ini bersama Rukun Negara Malaysia ke 5 yang menegaskan ‘Kesopanan dan Kesusilaan’, satu wadah perbincangan antara agama adalah amat diperlukan. Menyedari hakikat ini, Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM) and UID-Sejahtera telah mengadakan Seminar Perspektif Antara Agama Dalam Memperkasakan Nilai-Nilai Kekeluargaan: Orientasi Seks Dan Identiti Jantina Dari Sudut Pendirian Agama Islam, Kristian, Buddha Dan Hindu Dengan Input Perundangan Dan Fakta Kesihatan/Perubatan pada 20 Januari 2021 (7 Jamadil Akhir 1421H) melalui pertemuan atas talian.

Sesi perkongsian ini melibatkan panelis dari pelbagai latar belakang dan agama iaitu Dr Mohd Izwan Md Yusof from Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), En Eugene Yapp dari UID Sejahtera, Dr Ooi Hean Beng dari Buddhist Missionary Society Malaysia, Dr M Bala Thamalingam mantan Timbalan Presiden Hindu Sangam, Professor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Peguam Tuan Abdul Rahim Sinwan dan Professor Madya Dr Siti Zubaidah Ismail Timbalan Dekan Penyelidikan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.  

Resolusi bersama ini memutuskan bahawa agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu bersetuju bahawa keluarga adalah satu institusi mulia yang berpegang kepada nilai-nilai agama.

Semua agama mempunyai kepercayaan dan prinsip bersama menyeru kepada nilai kasih sayang, belas kasihan, kebaikan dan kemaafan sesama manusia termasuk antara komuniti LGBTQ.

Agama Islam seterusnya menyeru untuk kembali ke pangkal jalan. Adalah juga ditegaskan bahawa Muslim dan penganut agama Kristian, Buddha dan Hindu berhak untuk menzahirkan dan mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

Mereka juga berhak berkongsi pandangan mengenai isu kekeluargaan dan nilai kepercayaan agama masing-masing, termasuk yang berkaitan isu LGBTQ atas dasar  hak kebebasan beragama dan kebebasan bersuara.

Agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu berpendirian teguh bahawa sebarang tindakan atau kelakuan yang memudaratkan kesejahteraan komuniti LGBTQ tidak boleh dipromosi atau dibenarkan.

Dasar luar AS perlu menghormati bahawa di Malaysia, walaupun tingkah laku, tindakan dan amalan LGBTQ itu salah dan tidak patut digalakkan, agama Islam dan Kristian menegaskan dari sudut kepercayaan dan kerohanian masing-masing bahawa perubahan atau pemulihan golongan LGBTQ adalah tidak mustahil sekiranya individu atau komuniti LGBTQ itu sendiri bersedia dan secara sukarela ingin menerima perubahan.

Seruan ini tidak seharusnya dianggap sebagai homophobia atau transfobia. Langkah perubahan dan pemulihan ini termasuklah memohon bantuan melalui kaunseling profesional, mengikuti program-program mukhayyam, membina hubungan kepercayaan, penegasan dan penerimaan termasuk cara penjagaan pastoral selari dengan kerangka undang-undang sedia ada.

Perbincangan mengenai fakta kesihatan LGBTQ secara jujur dan telus harus digalakkan bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat secukupnya dan ia tidak boleh dianggap sebagai transfobia atau homofobia.

Langkah-langkah promosi kesihatan dan pencegahan penyakit ini adalah amat penting dan boleh dilakukan melalui ajaran agama, pendidikan, perkongsian data saintifik, pembinaan kesedaran termasuk penguatkuasaan peruntukan undang-undang.

Professor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Pengerusi Bersama
Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA)

Eugene Yapp
Mantan Setiausaha Agung
Persaudaraan Kristian Evangelikal Nasional Malaysia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button