Berita Utama

Serangan siber boleh berlaku di sektor kerajaan jika wujud kelompongan

Elak guna ‘password’ terlalu mudah atau klik pautan tak diketahui sumber

BANGI, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Kelompongan sistem pertahanan siber hanya akan membuka jalan mudah buat penggodam melakukan serangan pada bila-bila masa dan di mana-mana jua. 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, serangan itu boleh dilakukan tidak kira dalam sektor kerajaan atau swasta mahupun individu sendiri. 

“Jika tidak diperkukuhkan keselamatan siber, maka kelompongan itu akan diambil peluang oleh penggodam untuk mengeksploitasi. 

“Seterusnya faktor kelalaian manusia, seperti kata laluan yang terlalu mudah diceroboh dan tindakan mengklik pautan yang tidak diketahui sumbernya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual Forum YB bertajuk: Adakah Ancaman Godam Siber Mampu Dikekang di TV Pertiwi, malam ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, setiap pihak perlu memainkan tanggungjawab untuk melindungi sistem siber masing-masing bagi mengekang serangan berlaku dan memudahkan penggodam dikesan.

“Semua pihak, setiap daripada kita bila kita nak jejak penggodam kita perlu bahan bukti teknikal. Contoh jika sistem dalam syarikat tidak kumpul bahan bukti tertentu bagaimana kita nak jejak penggodam. Penggodam profesional pula sudah tentu arif tentang jejak digital yang ditinggalkan.

“Jadi mereka guna kaedah sofisticated. Mereka melakukan penyamaran IP (IP Scoofing) atau ‘server proxy’ menyebabkan kita susah menjejak,” katanya.

Justeru, beliau berkata, dalam konteks memperkukuhkan keselamatan siber, tidak ada teknologi yang boleh 100 peratus menghalangnya. 

“Pun begitu, kita boleh mengambil langkah berjaga-jaga atau mengurangkan risiko digodam dengan mengambil langkah proaktif dan preventif,” katanya.

Januari lalu, kumpulan penggodam Anonymous Malaysia yang menggelar diri mereka Cyberpunk Team mendakwa sudah menggodam beberapa laman web milik kerajaan.

Menerusi akaun Facebook kumpulan berkenaan, ia mendakwa, laman web yang terlibat ialah laman milik kerajaan negeri Sabah, Perak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Majlis Perbandaran Selayang.

Dakwanya, punca mereka menggodam disebabkan penyedia perkhidmatan kerajaan dan swasta yang mengandungi data peribadi rakyat digodam serta dibocorkan sebelum data itu kemudiannya dijual kepada pihak ketiga.

Namun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tiada insiden penggodaman mana-mana laman web kerajaan setakat ini dan beliau berharap kementerian akan terus selamat daripada digodam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button