Berita Utama

Tempelak pencapaian MCA sekadar lakonan Guan Eng?

Kerajaan dianggotai MCA sekarang sumbang RM58 juta untuk UTAR Mei tahun lalu

BANGI, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Menjelang perayaan Tahun Baru Cina, Lim Guan Eng dengan tidak semena-mena mempersoalkan apa pencapaian serta sumbangan MCA selama 60 tahun pemerintahan, dan membanggakan diri terhadap pencapaian Pakatan Harapan (PH) dalam masa setahun untuk masyarakat Cina di negara ini.

Guan Eng mendakwa, masyarakat Cina kecewa apabila peruntukan untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan tiga kolej swasta Cina tiada dalam senarai belanjawan kerajaan Perikatan Nasional (PN), seperti mana ketika PH memerintah.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, dakwaan Setiausaha Agung parti tamak haloba DAP itu dipertikaikan kerana terdapat institusi pendidikan mereka yang masih menerima sokong dana dalam jumlah yang besar.

“Tidakkah kerajaan sekarang yang dianggotai MCA telah menyumbang sebanyak RM58 juta untuk Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) pada Mei 2020. Bahkan jumlah ini adalah lebih besar daripada zaman PH.

“Apakah ini hanya lakonan Lim Guan Eng? Saya berpandangan bahawa MCA dan DAP saling berganding bahu memperjuangkan kepentingan bangsa Cina, sedangkan kebanyakan pemimpin Melayu hanya sibuk memikirkan perihal kerusi dan kepentingan kroni masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, penganalisis politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah memberitahu bahawa ketika di bawah pemerintahan PH, bantuan disalurkan melalui alumni mereka. 

Kini di bawah pemerintahan PN, peruntukan itu secara langsung diberikan kepada lembaga pengurusan mereka hanya kerana mereka adalah orang MCA. 

Terdahulu, dalam tulisan di laman Facebook beliau, Guan Eng berkata, MCA yang menjadi kerajaan melalui ‘pintu belakang’ belum menunjukkan sebarang pencapaian, tetapi sudah menyekat peruntukan untuk pendidikan Cina.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button