Berita Utama

Tolak Jawi: Dong Zong melampau, pamer sikap perkauman tebal

Integrasi nasional terencat jika KPM tunduk desakan pertubuhan radikal

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Tindakan Dong Zong mendesak kerajaan membatalkan kajian soal selidik berkaitan pembelajaran Jawi dalam buku teks Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bersifat keterlaluan dan melampau.

Pertubuhan radikal itu sepatutnya melaksanakan keputusan yang telah ditetapkan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) kerana ia sudah dimuktamadkan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, desakan seumpama itu ternyata menonjolkan sikap perkauman yang menebal dan keengganan Dong Zong menerima identiti negara.

“Sebenarnya pembelajaran Jawi adalah salah satu daripada mempelajari identiti negara kerana ia adalah simbol identiti negara Malaysia.

“Malah, kita berulang kali menegaskan bahawa silibus pembelajaran Jawi di sekolah vernakular bukan satu bentuk pengislamisasian atau usaha mengislamkan 

murid di SJKC,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Dong Zong dilaporkan mendesak KPM membatalkan kajian soal selidik berkaitan pembelajaran Jawi di SJKC, selain meminta majlis pengelola sekolah Cina, PIBG dan persatuan-persatuan membabitkan ibu bapa serta orang awam untuk terus teguh menolak modul pembelajaran dan pengajarannya.

Memetik laporan Oriental Daily, Dong Zong mendakwa, modul pembelajaran Jawi KPM untuk SJKC dan SKJ Tamil telah mencetuskan kontroversi yang hebat dan menerima tentangan meluas sebelum ini.

Dakwanya, hasil kajian soal selidik KPM tahun lepas telah membuktikan pelaksanaan pembelajaran modul Jawi KPM adalah suatu tindakan tidak popular, namun KPM enggan menerima kenyataan dan pandangan orang ramai, mahu terus membuat kajian soal selidik baharu bagi melaksanakan pengajaran serta pembelajarannya.

Atas sebab itu, Ustaz Mohd Azizee menggesa kerajaan khususnya KPM supaya berpendirian tegas dan tidak tunduk kepada desakan Dong Zong atau pihak lain yang mahu kajian soal selidik berkenaan dibatalkan.

“Jika ini berlaku, ia akan merencatkan lagi proses asimilasi atau integrasi nasional di negara ini,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button