Berita Utama

Agong berkenan kurnia rumah kepada mangsa banjir

Kerja pembinaan rumah setingkat akan bermula minggu depan

PEKAN, 30 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang mengalami kemusnahan harta benda, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan bantuan bagi membina rumah baharu kepada mereka yang terjejas.

Keprihatinan baginda terserlah, apabila turut berangkat turun padang bagi meninjau sendiri tapak pembinaan rumah baharu tersebut, masing-masing di Kampung Sungai Gangchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai, di sini hari ini.

Seri Paduka turut diiringi empat anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Sejurus tiba di Kampung Tanjung Pulai kira-kira 4 petang, baginda diberi taklimat ringkas oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Hafizah Zakaria, yang memaklumkan kerja-kerja pembinaan rumah setingkat berkeluasan 660 kaki persegi itu, akan bermula pada minggu depan.

Menurut Hafizah, pembinaan rumah yang mempunyai tiga bilik selain dilengkapi ruang makan dan tandas itu, akan mengambil masa 16 minggu yang dibina di atas tanah milik mangsa banjir sendiri.

Sementara itu, pemilik rumah Mohd Khanafiah Abu Bakar, 52, berkata, beliau sangat bersyukur dan tidak menjangkakan akan menerima sebuah rumah baharu pemberian Al-Sultan Abdullah.

Katanya, sebahagian struktur rumahnya runtuh akibat banjir pada awal bulan lepas dan beliau kini menumpang di rumah saudaranya, buat sementara waktu.

“Saya sangat terharu, rumah berkenaan merupakan rumah pusaka kami dan adik beradik, untuk berkumpul ketika raya dan kenduri, kami sangat menghargai pemberian baginda ini,” katanya yang menetap di Kampung Tanjung Pulai, di sini.

Bagi ibu tunggal Nur Hasnah Mat Yunos, 60, yang tinggal di Kampung Sungai Gangchong, Acheh, di sini, kurniaan baginda diibaratkan rezeki yang tidak disangka untuk mereka sekeluarga.

“Rumah kami hanya rumah papan, bila banjir habis lantai rosak. Junjung kasih kepada Tuanku yang begitu baik dan sudi membina rumah baharu untuk kami,” kata Nur Hasnah yang menetap di kampung berkenaan bersama tiga anak dan dua cucu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button