Berita Utama

Ibu empat anak terharu terima bantuan Yayasan Ikhlas

Agih sumbangan kepada 107 keluarga di Tawau hari ini dan esok

TAWAU, 30 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Ibu kepada empat orang anak terharu kerana menerima kunjungan sukarelawan Yayasan Ikhlas, hari ini.

Menceritakan detik itu, Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, wanita dikenali sebagai Kasnah itu ternyata gembira apabila menerima sumbangan dari pihaknya.

Katanya, keluarga Kasnah merupakan keluarga terawal yang menerima kunjungan Yayasan Ikhlas, pagi tadi.

“Beliau yang baru berumur awal 40-an diserang angin ahmar di permulaan PKP Mac tahun lalu.

“Suaminya bekerja sebagai pemandu separuh masa tidak berpeluang untuk menghantar beliau ke hospital.

“Beliau menangis teresak-esak dengan kunjungan sukarelawan Yayasan Ikhlas yang hadir memberikan sumbangan bantuan makanan asasi dan wang ringgit,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Prof Zainur Rashid sempat beramah mesra dengan salah seorang anak Kasnah, Afiq, 16, yang bersekolah, namun tidak dapat mengikuti kelas pelajaran atas talian kerana tidak mampu memiliki peranti yang diperlukan.

Berikutan itu, beliau menyampaikan sumbangan telefon pintar kepada pelajar berkenaan di samping menasihatnya supaya belajar bersungguh-sungguh.

“Saya berpesan kepada Afiq agar sentiasa menjaga solatnya dan berbuat baik kepada ibu bapa, khususnya buat ibunya yang masih belum pulih daripada strok,” katanya.

Prof Zainur Rashid turut memaklumkan Yayasan Ikhlas akan mengagihkan sumbangan kepada 107 buah keluarga di Tawau hari ini dan esok, sebelum ke Lahad Datu dan Semporna pada hari berikutnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button