Berita Utama

KPM bina kuarters guru baharu SK Ulu Ansuan

Cakna video guru besar tiada kediaman, tinggal di stor sekolah

BANGI, 6 Jamadilawal 1445H, Isnin – Kementerian Pendidikan (KPM) telah menambah baik akses dan fasiliti pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid Sabah.

KPM dalam kenyataan berkata, pihaknya cakna mengenai video tular seorang guru besar di sekolah berkenaan yang tidak mempunyai kediaman dan terpaksa tinggal di sekolah.

Katanya, kementerian memandang serius perkara itu kerana membabitkan kesejahteraan guru, murid dan seluruh warga sekolah.

“Kerja-kerja pembinaan melibatkan pembinaan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot sedang rancak berjalan.

“SK Ulu Ansuan juga telah diluluskan pembinaan empat unit kuarters baharu semasa pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu,” katanya.

Menurut KPM, semua projek penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM12.5 juta.

“Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di sekolah tersebut pula, KPM telah siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan RM200,000.

“KPM terus tekad untuk menambah baik akses dan fasiliti di semua sekolah di seluruh negara yang memerlukan perhatian bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah terpelihara,” katanya.

Sebelum ini, tular video Guru Besar SK Ulu Unsuan, George Odol yang sanggup tinggal di stor sekolah sejak dipindahkan ke sekolah itu lebih tiga tahun lalu, ekoran tiada kemudahan rumah guru.

George yang akan bersara wajib pada 27 November ini berkata, beliau tinggal di stor berkeluasan 2.74 meter lebar dan 4.87 meter panjang sejak Jun 2020.

Video itu sekali gus mendapat perhatian media dan respon daripada pelbagai pihak yang menuntut kerajaan memandang serius kebajikan guru di kawasan pedalaman.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button