Berita Utama

Polis rampas 6,600 kg ayam sejuk beku seludup

Ayam berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran

JELI, 30 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Polis menahan dua lelaki dan merampas ayam sejuk beku seberat 6,600 kilogram (kg) bernilai sekitar RM60,500 yang dipercayai diseludup dari negara jiran, di Kampung Ayer Lanas, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jeli DSP Ahmad Arifin berkata dua lelaki berumur 18 dan 27 tahun itu ditahan pada pukul 9.00 pagi selepas polis memeriksa sebuah lori susulan maklumat awam, dan menemui 550 kotak berisi ayam sejuk ayam berkenaan.

Beliau berkata kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang permit import yang sah oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan gagal mengemukakan sijil kesihatan yang dikeluarkan dari negara asal, untuk membawa ayam sejuk beku berkenaan masuk ke Malaysia.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata kesemua tangkapan dan rampasan itu diserahkan kepada pihak MAQIS untuk disiasat di bawah Sekyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Pesalah boleh dihukum mengikut Seksyen 11 (3) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button