Berita Utama

KWP akan bertemu pemilik tanah Kampung Baru

Bentang pendekatan baharu pembangunan kawasan di ibu kota itu

KUALA LUMPUR, 9 Muharram 1442H, Jumaat – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sedang mengatur pertemuan semula dengan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru bagi membentangkan pendekatan baharu pembangunan kawasan di ibu kota itu dalam masa terdekat.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata ia susulan keputusan tidak meneruskan Pelan Konsep Pembangunan Kampong Bharu 2019 serta tawaran pembelian tanah pada harga RM1,000 sekaki persegi berikutan ia hanya mendapat persetujuan 61 peratus pemilik tanah di situ.

“Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru mesti diberitahu tentang pelan tidak diteruskan kerana mungkin ada yang ternanti-nanti dan berharap dengan tawaran RM1,000 sekaki persegi itu, ” katanya pada sidang media bersempena majlis pelancaran Laluan Baharu Bas GoKL di sini, hari ini.

Tanpa mendedahkan tempoh masa sebenar, beliau bagaimanapun menegaskan akan membuat pertemuan itu apabila perancangan lengkap yang realistik dan mampu dilaksanakan disiapkan terlebih dahulu.

Menjelas lanjut, Annuar berkata konsep yang akan diguna pakai dalam pendekatan baharu itu bersifat dalaman dan tidak melibatkan pihak luar dalam proses pembelian tanah kawasan itu.

Pembangunan juga akan dibahagikan kepada grid tertentu dan plot yang lebih kecil serta dijalankan secara berfasa, katanya.

“Kita telah mengenal pasti tujuh plot yang boleh dibangunkan segera antaranya di padang berdekatan Jalan Syed Mahadi, dan di sebelah Masjid Kampung Baru, kawasan tersebut tak payah tunggu, memang sedia boleh dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata konsep pembangunan juga mestilah bersifat keterlibatan dengan pemilik tanah dan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selain menjadikan kawasan itu sebagai kawasan pembangunan istimewa .

Sementara itu, Annuar berkata pihaknya juga sedang merangka pelan jaringan perlindungan keselamatan sosial untuk membantu golongan miskin bandar.

Pelan jaringan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan untuk dinilai oleh pelbagai kementerian yang terlibat, katanya.

“Perkara ini selaras dengan usaha kerajaan menyemak semula Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 berbanding kadar RM980 (sebulan) yang telah diguna pakai sejak tahun 2005.

“Kita juga telah kenal pasti 178 kawasan yang wujudnya kemiskinan bandar ini termasuklah Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya.

Beliau berkata perangkaan itu antara lain akan mengkaji semula dan memperluas program sedia ada seperti program bas sekolah percuma kepada penduduk PPR.

Katanya pihaknya juga akan mendapatkan kerjasama pelbagai pihak daripada pelbagai sektor dalam memastikan pelan itu bersifat lebih integrasi.

Terdahulu Annuar melancarkan laluan merah manggis bas GoKL yang merupakan laluan kelapan perkhidmatan itu, menghubungkan PPR Kampung Batu Muda ke stesen LRT Sentul.

Laluan sepanjang 15 kilometer itu akan bermula dari SMK Tiara Permai, melalui PPR Kampung Batu Muda dan Klinik Kesihatan Taman Batu Muda, masuk ke Jalan Sentul Pasar menghala ke pusat bandar dan akan melalui stesen LRT Sentul dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button