Apa masa depan Rohingya di bawah pemerintahan junta?
Baik atau buruk selepas junta berjanji untuk lindungi entik tersebut

RAMPASAN kuasa di Myanmar kini menimbulkan persoalan besar berkenaan masa depan etnik Islam Rohingya di negara tersebut, termasuk mereka yang melarikan diri.
Apakah junta akan membenarkan ratusan ribu etnik berkenaan yang kini bergelar pelarian pulang ke tanah air atau nasib mereka bakal menjadi lebih buruk daripada sebelumnya.
“Rampasan kuasa secara keseluruhan tidak membawa kebaikan kepada sesiapa pun.
“Namun risiko bagi Rohingya lebih tinggi kerana tentera bertanggungjawab melakukan kekejaman sejak sekian lama,” kata Pengasas bersama pertubuhan hak asasi manusia Fortify Rights, Matthew Smith.
Pada tahun 2017, lebih daripada 700,000 penduduk Rohingya melarikan diri menyeberangi sempadan negara tersebut susulan kekejaman tentera Myanmar yang lebih dikenali sebagai Tatmadaw.
Namun, pihak tentera menegaskan, serangan ke atas etnik minoriti itu adalah tindakan susulan kepada keganasan kumpulan ekstreme Rohingya terhadap pasukan keselamatan.
Susulan rampasan kuasa yang berlaku pada 1 Februari lalu, nasib ratusan ribu lagi penduduk Rohingya yang menetap di negara itu kini berada di tangan pemerintah tentera.
“Mereka ada rancangan untuk memusnahkan kami, kini mereka memerintah negara.
“Mereka akan seksa kami lebih teruk lagi,” dakwa Pengarah Urusan Rohingya Youth Association in Cox’s Bazar, Ro Khin Maung.
Bagaimanapun, sangkaan tidak baik terhadap pemerintah junta cuba dinafikan oleh Jeneral Min Aung Hlaing yang kini memimpin Myanmar dengan janji untuk melihat isu ‘ke hadapan’ dan melindungi etnik Islam Rohingya.
Susulan kenyataan itu, pengawai Bangladesh yang sudah memulakan proses pemindahan ke sebuah pulau berharap kepulangan etnik berkenaan ke tanah air mereka dapat diadakan dalam masa terdekat.
Namun begitu, Smith menegaskan agak sukar untuk melihat kepulangan Rohingya ke Myanmar dengan lancar.
Ini kerana sebelum ini, wujud ketakutan dalam kalangan Rohingya untuk pulang ke Myanmar dan perasaan itu dilihat semakin bertambah ekoran daripada rampasan kuasa.
Bekas tahanan politik yang juga aktivis, Wai Wai Nu berkata, rampasan kuasa menimbulkan banyak kesukaran kepada etnik Rohingya.
“Saya tidak rasa diktator ketenteraan merupakan jawapan, namun bukan mudah untuk bekerjasama dengan kerajaan Aung San Suu Kyi dan mereka tak melakukan apa-apa untuk Rohingya.
“Pada asasnya kami mempunyai harapan yang tinggi,” katanya lagi. – Agensi