Berita Utama

527 kluster COVID-19 direkodkan libat tempat kerja

Seramai 78,906 orang didapati positif pandemik berkenaan

KULAI, 1 Rejab 1442H, Sabtu – Sebanyak 527 kluster dikenal pasti melibatkan tempat kerja daripada keseluruhan 852 kluster dilaporkan dalam gelombang ketiga pandemik COVID-19 di dalam negara sejak 20 Sept lepas hingga semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata seramai 78,906 orang didapati positif COVID-19 daripada seramai 315,100 orang di dalam kluster tempat kerja yang disaring.

“Daripada jumlah kes positif di tempat kerja tersebut, seramai 58,318 orang daripadanya adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia manakala 20,588 orang lagi adalah warganegara,” katanya kepada pemberita pada Operasi Bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor di tiga asrama pekerja asing di Jalan Seelong, Senai, di sini hari ini.

Kategori pembuatan mencatatkan kluster tertinggi dengan sebanyak 194 kluster, perkhidmatan (175), pembinaan (97), pentadbiran awam (39), pertanian (14) manakala perlombongan/kuari (lapan).

Sementara itu, Dr Adham berkata pemeriksaan di tiga asrama di Jalan Seelong itu dilakukan susulan terdapat 327 pekerja asing di asrama terbabit didapati positif COVID-19 daripada keseluruhan 568 pekerja yang disaring, dari 5 hingga 11 Feb lepas.

Pemeriksaan mendapati tiada pengamalan 3S, iaitu elak tempat sempit, tempat sesak dan sembang dekat di tempat penginapan pekerja asing yang melanggar Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor telah diarahkan untuk melakukan siasatan terhadap tempat penginapan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button