Berita Utama

Aktiviti latihan di Pulapol dihentikan sementara waktu

Ini selepas terdapat kes COVID-19 melibatkan pelatih polis di sana

KUALA LUMPUR, 1 Rejab 1442H, Sabtu – Segala aktiviti latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara dihentikan buat sementara waktu berikutan terdapat kes positif COVID-19 membabitkan pelatih polis, kata Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din.

Beliau berkata pada masa ini seramai 41 pelatih masih positif COVID-19 dan menjalani perintah kuarantin di Pulapol Kuala Lumpur.

“Sebelum ini, seramai 78 pelatih polis positif COVID-19 dan jumlah itu semakin berkurangan apabila ramai yang sembuh.

“Oleh itu, kami menunggu keadaan benar-benar pulih barulah Pulapol dibenarkan untuk meneruskan latihan kembali,” katanya kepada pemberita selepas melawat gerai-gerai Jualan Mega Frontliner bersama PDRM di Keramat Wangsa, di sini.

Negeri-negeri yang mempunyai pusat latihan polis ialah Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata PDRM pada masa sama bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dengan membuat sanitasi awam di Pulapol Kuala Lumpur dan Pulapol Segamat, Johor.

“Sanitasi awam di Pulapol negeri-negeri lain juga ada kami buat tetapi jumlah jangkitan COVID-19 adalah begitu kecil,” katanya.

Mengulas mengenai pengambilan rekrut baharu untuk jawatan pegawai dan anggota polis ketika tempoh COVID-19, Ramli berkata pengambilan jawatan diteruskan seperti biasa namun ia dihadkan.

“Hari ini, kami masih ada buat ujian fizikal rekrut baharu untuk mengisi kekosongan jawatan PDRM sedia ada tetapi hanya 3,800 sahaja diambil daripada 7,200 jawatan yang dibuka.

“Ia tidak boleh direkrut sepenuhnya (7,200) kerana dalam tempoh COVID-19 kelengkapan pelindungan diri tidak mencukupi untuk Pulapol melaksanakannya,” katanya.

Ramli berkata walaupun pengambilan rekrut diteruskan, PDRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di setiap Pulapol seluruh negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button