Berita Utama

Bertindak segera selesai isu pencemaran Sg Semungkis: PEMBELA

'Takkan nak tunggu gondol baru pihak ini nak mulakan tindakan'

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 1 Rejab 1442H, Sabtu – Kehadiran ramai penguat kuasa masih tidak mampu menghentikan pencemaran Sungai Semungkis, Hulu Langat yang didakwa dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kesal dengan perkara itu, Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari mendesak, pihak berkuasa supaya bertindak.

“Apa yang berlaku, ramai penguat kuasa tetapi tak mampu menghentikan pencemaran yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab?

“Diketuai Ustaz Masridzi (Naib Pengerusi PEMBELA) dan wakil penduduk kampung di Semungkis, Hulu Langat, pencemaran yang sudah masuk minggu kedua masih belum mampu disekat malah berpuluh pihak berkuasa di kalangan PBT (pihak berkuasa tempatan) dan pihak berwajib, hanya mampu tergamam.

“Takkan nak tunggu gondol macam di Pahang, Perak dan Kedah, baru pihak ini nak mulakan tindakan?,” soalnya.

Bercakap kepada Ismaweb.net, beliau yang mesra disapa Cikgu Izzat meminta isu itu diselesaikan segera.

“Saya menggesa kepada pihak PBT, kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Alam Sekitar agar segera bertindak sebelum pencemaran sungai semakin parah,” katanya.

Difahamkan Sungai Semungkis merupakan sumber tadahan air bersih dan kawasan rekreasi bagi penduduk berhampiran.

Namun, ekoran pembangunan tapak perkhemahan yang dibuat di kawasan berkenaan, ia sekali gus merosakkan ekosistem hutan simpan dan mencemarkan air sungai.

Berikutan itu, penduduk kampung telah membuat laporan polis bagaimanapun sepasukan polis yang hadir menyiasat di lokasi tapak perkhemahan tersebut, tidak dibenarkan masuk.

Rentetan itu, sepasukan penguat kuasa Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat turut hadir menyiasat isu berkenaan, dan dimaklumkan oleh anak kepada pemilik tapak perkhemahan tersebut bahawa tanah mereka memiliki geran dari kerajaan Selangor.

Menurut maklumat dari ketua Kampung Sungai Semungkis, pemilik ‘campsite’ telah membeli dari seorang individu yang mana geran tersebut telah dikeluarkan sejak 2012 oleh kerajaan negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button