Berita Utama

Galak perbuatan zina, haramkan Sugarbook!

3 kementerian diminta siasat dakwaan pelajar IPT daftar sebagai ‘sugar baby’

BANGI, 1 Rejab 1442H, Sabtu – Pendedahan mengejutkan mengenai pembabitan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia ke kancah hubungan sosial ‘sugar baby-sugar daddy’ mendapat reaksi pelbagai pihak.

Ini selepas platform temu janji ‘sugar daddy’ terbesar di Asia, Sugarbook melaporkan peningkatan 40 peratus pelajar mendaftar untuk menjadi ‘sugar baby’ sejak Januari, kononnya atas alasan krisis kewangan yang dialami.

Platform itu turut mendedahkan senarai ‘top 10’ universiti ‘sugar baby’ di Malaysia, termasuk dua universiti awam, membabitkan 12,705 pelajar.

Atas sebab itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bersama beberapa badan bukan kerajaan (NG0) dan badan mahasiswa mendesak platform Sugarbook diharamkan.

“GAMIS bersama beberapa NGO dan badan mahasiswa sebulat suara mengecam mana-mana aplikasi atau laman sesawang temu janji yang berunsur maksiat daripada terus beroperasi kerana ia jelas menggalakkan perbuatan zina di negara ini.

“Aplikasi dan laman sesawang berunsur maksiat ini dilihat mampu memusnahkan ketamadunan dan membawa keruntuhan moral yang akan memecahbelahkan institusi kekeluargaan seterusnya menjadi penyumbang kehancuran sesebuah negara,” katanya.

GAMIS berkata demikian dalam satu kenyataan bersama PERKEMAT Darul Quran, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Student Union UIAM, MPP Universiti Putra Malaysia (UPM) dan MPP Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Selain itu, MPP Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), MPP Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Ikatan Studi Islam UKM, Maarif Club UIAM, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM, Kelab al-Azhar Members KUIS, Persatuan Mahasiswa Islam UM, Persatuan Mahasiswa Islam UPM dan Persatuan Mahasiswa Islam Hadhari UiTM Shah Alam.

Kenyataan itu turut mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyiasat dakwaan senarai kedudukan dan bilangan pelajar IPT yang didedahkan itu.

“Sekiranya data yang dikeluarkan adalah tidak benar dan hanya semata-mata helah mereka, pihak mereka sewajarnya dikenakan tindakan atas penipuan yang dilakukan.

“Sekiranya maklumat yang diuar-uarkan di media sosial adalah benar, maka pelajar-pelajar yang terlibat khususnya Muslim perlu dikesan dan dibimbing ke pangkal jalan, dan tindakan mengharamkan aplikasi yang menjadi sarang maksiat itu adalah langkah pencegahan yang terbaik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button