Berita Utama

PAS anggap kemasukan Gerakan perkukuh perpaduan rakyat

Lengkapkan PN sebagai perikatan bersifat nasional merangkumi pelbagai bangsa, parti

BANGI, 1 Rejab 1442H, Sabtu – Meskipun ramai pihak yang tidak senang dengan kemasukan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dalam Perikatan Nasional (PN), namun PAS – sebagai parti komponen – berpendirian terbuka dengan penyertaan parti itu.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, penyertaan Gerakan dalam PN – gabungan yang ditubuhkan hampir setahun lalu – mampu memperkukuhkan lagi perpaduan masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, kemasukan Gerakan – yang sebelum ini pernah bersama Barisan Nasional – boleh melengkapkan PN sebagai sebuah perikatan yang bersifat nasional merangkumi pelbagai jenis bangsa dan parti.

“Bagi saya tiada masalah untuk mewujudkan perpaduan, kita mengejar keamanan.

“Cuma kita lebih selesa untuk melihat tanggungjawab semua bangsa dalam mencari keselesaan buat rakyat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Khamis lalu, Gerakan mengumumkan secara rasmi diterima menganggotai gabungan PN.

Parti yang kalah di semua 11 kerusi Parlimen dan 31 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, berjanji mewakili rakyat dalam segala perkara, mengetengahkan kesederhanaan dan memastikan PN sebagai wadah politik baharu negara.

PN dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS, manakala UMNO mengambil pendirian menyokong tetapi tidak sertai sebagai satu komponen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button