Berita Utama

Proses pendaftaran vaksin juga sebahagian daripada janji temu

Individu telah mendaftar akan diberi maklumat untuk proses vaksinasi

KUALA LUMPUR, 1 Rejab 1442H, Sabtu – Proses pendaftaran sebagai penerima vaksin COVID-19 adalah sebahagian daripada membuat janji temu, demikian menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau menjelaskan demikian melalui mesej Twitter bagi menjawab soalan mengenai alasan perlunya pendaftaran dilakukan bagi mendapatkan akses vaksin COVID-19 yang ditanya oleh seorang pengguna Twitter, Dr Ungku Shahrin @ungshah.

Menurut Khairy, individu yang telah mendaftar akan diberikan maklumat lanjut untuk proses vaksinasi.

“Mereka (individu yang mendaftar), kemudiannya akan diberikan tarikh, waktu dan tempat berdasarkan maklumat yang diberikan. Tempat tinggal mereka misalnya, mungkin tidak sama seperti di dalam alamat IC (kad pengenalan) mereka,” katanya dalam mesej Twitternya hari ini.

Dalam satu ciapan lain, Khairy menjelaskan bahawa pendaftaran mendapatkan vaksin COVID-19 perlu dilakukan agar maklumat seseorang individu itu dapat dimasukkan ke dalam sistem pengurusan janji temu.

“Kebanyakan negara, memberikan vaksinasi berdasarkan janji temu. Jika orang ramai datang (tanpa janji temu), ia pasti akan menyebabkan pembaziran masa dan tenaga kerana perlu beratur panjang. Melalui sistem janji temu, ia juga dapat membantu daripada segi logistik vaksin, seperti berapa banyak vaksin yang hendak dihantar ke sesuatu tempat itu,” katanya.

Semalam, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengumumkan bahawa pendaftaran vaksin COVID-19 dijangka dapat dibuka kepada orang ramai bermula Mac depan.

Terdapat lima kaedah orang ramai boleh mendaftar untuk mendapatkan akses vaksin COVID-19.

Ini termasuk melalui aplikasi MySejahtera, pendaftaran melalui laman sesawang JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19) yang akan dilancarkan minggu depan, menghubungi talian hotline (nombor ditetapkan kemudian), pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta dan bantuan pendaftaran dari kerajaan negeri bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button