Berita Utama

RM1.6 juta tak cukup, Dong Zong desak 81 SMJKC diberi peruntukan

Minta KPM tunai janji tahun 1960-an konon demi masa depan negara

BANGI, 1 Rejab 1442H, Sabtu – Tidak cukup dengan peruntukan khas RM1.6 juta, pertubuhan radikal Dong Zong meminta kerajaan berlaku adil dengan menginstitusikan pemberikan peruntukan kepada 81 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) di negara ini.

Ini kerana, pertubuhan radikal itu beranggapan, pemberian di bawah peruntukan kebajikan awam kepada 16 buah sekolah menengah yang dikeluarkan dari senarai SMJKC sebelum ini, bukanlah jaminan jangka masa panjang untuk pendidikan Cina.

Menurut Dong Zong, pada realitinya, tidak kira sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) yang memerintah, 16 buah SMJKC itu tetap mendapat peruntukan.

Namun masyarakat Cina tidak dapat menerima apabila 16 buah sekolah itu dikeluarkan dari senarai SMJKC oleh Kementerian Pendidikan (KPM) ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah dalam masa setahun.

“Walaupun pejabat Timbalan Menteri Pendidikan telah berusaha dan peruntukan kebajikan awam telah diberikan, tetapi dari sudut jangka masa panjang, kaedah ini tidak menjanjikan sebarang jaminan,” katanya seperti dilapor Oriental Daily, kelmarin.

Menurut senarai Majlis Pembangunan SMJKC Malaysia, kini terdapat 81 buah SMJKC termasuk 16 buah SMJKC yang dibincangkan.

Dong Zong berkata, antara SMJKC ini, 78 buah mempunyai sejarah yang sangat panjang, dan status mereka sebagai SMJKC telah dinyatakan dengan jelas dalam surat rasmi bertarikh 3 Mac 1997 dari KPM – surat ini menerangkan status SMJKC terlibat kepada pengarah jabatan pendidikan setiap negeri.

“Bagaimanapun, hari ini KPM telah menggunakan isu tanah di mana sekolah dibina untuk menukarkan status sembilan buah SMJKC kepada SMK, selain menggunakan alasan cawangan sekolah atau sekolah kedua untuk menukarkan status tujuh buah lagi SMJKC kepada SMK.

“Ini menyebabkan 16 buah sekolah ini berasa malu kerana tidak mendapat peruntukan dari KPM,” katanya.

Menurut Dong Zong lagi, pada 1960-an, banyak sekolah menengah Cina menerima penstrukturan semula menjadi SMJKC – setelah kerajaan pada masa itu memberikan pelbagai janji.

Antaranya termasuk memberikan peruntukan dan tenaga guru yang mencukupi; memberikan tanah untuk membina sekolah; menetapkan satu pertiga dari waktu pembelajaran untuk pendidikan bahasa Cina; memelihara hak Lembaga Pengelola Sekolah Cina dan lain-lain lagi.

“Seperti yang diperkatakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Mah Hang Soon pada majlis dalam talian penyerahan peruntukan kebajikan awam kepada SMJKC tempoh hari, melalui usaha keras generasi terdahululah, semua SMJKC termasuklah cawangannya, telah menyumbang kepada usaha memperluaskan kebudayaan Cina melalui model sekolahnya,

“Selain telah melahirkan ramai modal insan yang berjaya dan berguna untuk negara,” katanya.

Atas dasar itu, Dong Zong berkata, KPM perlu berlaku adil kepada semua 81 buah SMJKC dalam usaha perkembangan dan kemajuannya bahkan tidak patut menggunakan alasan status pemilikan tanah atau status cawangan sekolah sebagai alasan tidak memberikan hak yang sama kepada 16 buah sekolah yang terlibat.

“Pendidikan adalah asas sesebuah negara, demi masa depan negara, Dong Zong dengan tegas beranggapan KPM mesti menunaikan janjinya ketika penstrukturan semula sekolah menengah Cina pada tahun 1960-an, selain mesti lebih prihatin dan memberikan lebih banyak bantuan kepada SMJKC.

“Ini adalah hak asas SMJKC setelah menerima penstrukturan semula oleh kerajaan pada waktu itu,” katanya.

PAUTAN BERKAITAN

https://www.orientaldaily.com.my/news/nation/2021/02/11/392301?fbclid=IwAR09LCgosnX-1FRKse7_JmHC8EKsWhuz1tRy3eqaFgb_7HsAKDWZ1_lNBoE

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button