Berita UtamaDunia

Semua hipotesis masih terbuka untuk ketahui asal-usul COVID-19: WHO

Misi di China anggap sangat tak mungkin virus bocor dari makmal

GENEVA, 1 Rejab 1442H, Sabtu – Semua hipotesis masih terbuka dalam usaha Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mencari asal-usul COVID-19, kata Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Misi yang diketuai WHO di China minggu ini mengatakan bahawa mereka tidak akan meneliti lebih lanjut persoalan apakah virus itu bocor dari makmal – yang dianggapnya sangat tidak mungkin.

Amerika Syarikat (AS) berkata, akan mengkaji semula penemuan misi tersebut.

Dalam taklimat semalam, Tedros berkata, beberapa persoalan telah diajukan sama ada beberapa hipotesis telah dibuang.

“Setelah bercakap dengan beberapa ahli pasukan, saya ingin mengesahkan bahawa semua hipotesis tetap terbuka dan memerlukan analisis dan kajian lebih lanjut.

“Sebahagian kerja itu mungkin di luar tugas dan skop misi ini. Kami selalu mengatakan bahawa misi ini tidak akan menemui semua jawapan, tetapi menambahkan maklumat penting yang membawa kami lebih dekat untuk memahami asal-usul virus COVID-19,” katanya.

Misi berkata, hipotesis utama adalah virus itu berasal dari kelawar – walaupun ada beberapa kemungkinan senario bagaimana ia menular ke manusia – mungkin pertama kali dengan menjangkiti spesies haiwan lain.

Sebelum ini, bekas pegawai dalam pentadbiran mantan Presiden AS, Donald Trump percaya virus itu mungkin bocor dari makmal di bandar Wuhan, China.

China dengan tegas menafikan dakwaaan tersebut dan mengatakan Institut Virologi Wuhan (WIV) tidak mengkaji virus yang berkaitan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button