Tarbiyah

Mari berpuasa di bulan Rejab

Berhati-hati dalam menerima hadis yang tersebar di media sosial

1. TIMBUL banyak persoalan mengenai hadis-hadis daif yang berlegar disekitar bulan Rejab. Al-Imam Ibn Hajar dan al-Imam al-Nawawi turut pernah menyuarakan tentang kewujudan lambakan hadis-hadis daif mengenai Rejab.

2. Walaupun begitu, ia tidak menghalang kita dari berpuasa dalam bulan Rejab. Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi menampilkan satu hadis yang menunjukkan keharusan berpuasa dalam bulan Rejab.

3. Hadis tersebut menceritakan dialog Rasulullah dengan Saidina Usamah dimana Usamah bertanya kepada Nabi mengapa Baginda banyak berpuasa dalam bulan Syaaban. Lalu Rasulullah menjawab:

ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ،

“Kerana bulan Syaban adalah bulan yang sering dilupakan oleh manusia berbanding bulan Rejab dan Ramadan.” (HR al-Nasa’i)

4. Ketika mengulas mengenai hadis ini, al-Imam al-Syaukani menyatakan bahawa, lafaz Rasulullah ini seakan menunjukkan keharusan berpuasa pada bulan Rejab. Ini kerana manusia sering mengagungkan bulan Rejab dan Ramadan. Mereka banyak berpuasa pada bulan Rejab dan Ramadan tetapi tidak pada bulan Sya’ban. Lalu al-Imam al-Syaukani berkata:

أَنَّ الْمُرَادَ أَنَّهُمْ يَغْفُلُونَ عَنْ تَعْظِيمِ شَعْبَانَ بِالصَّوْمِ كَمَا يُعَظِّمُونَ رَمَضَانَ وَرَجَبًا بِه

“Maksudnya disini ialah manusia banyak yang leka daripada memuliakan bulan Syaaban dengan berpuasa seperti mana mereka memuliakan bulan Rejab dan Ramadan dengan berpuasa. (Nayl al-Autar)

5. Pandangan yang sama dinyatakan oleh Darul Ifta Mesir (Majlis Fatwa Kebangsaan Mesir) yang menyatakan tiada masalah bagi umat Islam untuk meningkatkan amalan dan berpuasa dalam bulan Rejab. Kata mereka:

ولكن هذا لا يمنع من التزود بالعمل الصالح في هذا الشهر المعظم،

“(Benar terdapat hadis daif mengenai bulan Rejab) tetapi ia tidak menghalang kita daripada memperbanyakkan amal soleh dalam bulan yang dimuliakan ini.

6. Sebagai Muslim, kita hendaklah berhati-hati dalam menerima hadis yang tersebar dalam media sosial. Dalam masa yang sama, kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan amalan kerana Allah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button