Berita UtamaDunia

China, AS janji tingkat kerjasama tangani perubahan iklim

Kurangkan pelepasan metana, penebangan hutan dan arang batu

GLASGOW, 6 Rabiulakhir 1443H, Khamis – China dan Amerika Syarikat (AS), dua pengeluar karbon dioksida terbesar di dunia, berjanji untuk meningkatkan kerjasama menangani perubahan iklim, termasuk mengurangkan pelepasan metana, melindungi hutan serta menghentikan penggunaan arang batu secara berperingkat.

Dalam satu kenyataan bersama yang diumumkan pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) di Glasgow, dua negara itu berkata, mereka telah mencapai persetujuan untuk menggandakan usaha memerangi perubahan iklim dengan ‘tindakan konkrit’.

Dua negara penyebab pencemaran karbon dioksida terbesar itu berkata, perjanjian mereka memerlukan ‘tindakan iklim dipertingkatkan pada 2020-an’ menggunakan garis panduan Perjanjian Iklim Paris 2015, termasuk sasaran pengurangan pelepasan baharu yang lebih kukuh pada 2025.

“Kedua-dua pihak menyedari bahawa terdapat jurang antara usaha semasa dan matlamat Perjanjian Paris, jadi kami akan bersama-sama mengukuhkan tindakan iklim,” kata Duta Khas China mengenai Hal Ehwal Perubahan Iklim, Xie Zhenhua dalam mengumumkan perjanjian itu, semalam.

Perjanjian 2015 itu menuntut negara-negara supaya komited berusaha ke arah mengehadkan kenaikan suhu global kepada antara 1.5 Celcius dan 2 Celcius melalui pengurangan pelepasan menyeluruh.

Zhenhua berkata, China dan AS telah menjalankan 30 pertemuan maya sepanjang 10 bulan lalu untuk menghasilkan inisiatif itu.

“Sebagai dua kuasa besar di dunia, China dan Amerika Syarikat perlu memikul tanggungjawab untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam menangani perubahan iklim,” katanya.

AS dan China bersama-sama menyumbang kira-kira 40 peratus daripada semua pencemaran karbon.

Duta Khas Presiden AS untuk Iklim, John Kerry berkata, negara-negara itu juga bersetuju untuk mengurangkan pelepasan metana dan perjanjian dengan China adalah kenyataan sokongan bagi kejayaan sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami bersama-sama menyatakan sokongan kami untuk melihat COP26 yang berjaya, termasuk unsur-unsur tertentu yang akan menggalakkan cita-cita.

“Tetapi biar saya jelaskan bahawa pengisytiharan ini adalah satu langkah yang boleh kita bina untuk merapatkan jurang. Setiap langkah penting sekarang dan kita mempunyai perjalanan jauh di hadapan kita,” kata Kerry pada sidang akhbar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button